Oleh Anwar Ridhwan (Sasterawan Negara)

Mutakhir ini, isu perpaduan ummah khususnya yang melibatkan orang Melayu berkumandang lagi. Timbulnya situasi atau suasana “perpecahan” yang dirasai, tentu bersebab. Mungkin oleh sebab rentak tambur politik yang berbeza, yang menyebabkan ummah mengatur langkah yang berbeza-beza. Mungkin oleh sebab gaya hidup yang berbeza akibat pendidikan serta lingkungan yang berbeza-beza, serta jurang pendapatan yang berbeza yang meluaskan sempadan kelas dalam masyarakat – sehingga setiap individu mempunyai matlamat hidup yang tidak seragam. Mungkin juga oleh sebab tiada perancangan strategik hala tuju yang jelas bagi pencapaian masa hadapan ummah secara rohaniah dan kebendaan – sehingga setiap individu tidak mungkin melanggan satu ideologi politik bagi menambahbaikkan kehidupan mereka. Mungkin hal ini terjadi oleh sebab sejarah pahit tahun 1970-an yang tidak menjadi penawar bagi sesetengah pihak.

Sebenarnya, bukan dalam masyarakat moden atau pascamoden ini – yang mengandungi sistem sosial, ekonomi dan politik yang serba kompleks kepada setiap individu dan bangsa-bangsa saling bersaing sengit – yang selalu disedarkan akan kepentingan perpaduan itu. Dalam masyarakat Melayu tradisional, agraria, yang agak tertutup dan sederhana, muncul peribahasa “bagai aur dengan tebing” atau “bulat air oleh pembuluh, bulat kata oleh muafakat” bagi melakarkan betapa pentingnya kerjasama, bersatu dan berpadu sebagai fikrah kehidupan yang terpuji. Lebih-lebih lagi apabila menghadapi dugaan besar.

Antara dugaan besar dalam sejarah bangsa adalah kedatangan tentera Portugis pada awal kurun ke-16. Kita ingin melupakan perpecahan dalam kalangan atasan di Istana Melaka, yang mengakibatkan malapetaka. Kita ingin mengingat dua hikayat ini yang memberikan perspektif berbeza, iaitu Hikayat Anggun Cik Tunggal dan Hikayat Malim Dewa. Sebagaimana yang pernah disebut dalam makalah Md. Salleh Yaapar, Hikayat Anggun Cik Tunggal pada mulanya merupakan cerita lisan Pawang Ana, yang dituturkan pada awal kurun ke-20 dan telah disunting oleh R.O. Winstedt dengan bantuan Raja Haji Yahya. Sementara Hikayat Malim Dewa dituturkan oleh Pawang Ana dan Raja Haji Yahya, serta disunting oleh R.O. Winstedt dan A.J. Sturrock. Kedua-dua hikayat ini amat popular dalam kalangan rakyat di Semenanjung Malaysia dan Sumatera sekitar era tersebut hingga beberapa dekad kemudian.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Sastera September 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

Be Sociable, Share!