Oleh Rahimah Haji A. Hamid

Novel Penderhaka ialah novel terbitan baharu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Novel karangan Marsli N.O., iaitu nama pena yang diguna pakai pengarang berkebolehan besar, Ramli bin Selamat. Berdasarkan biodatanya, Marsli N.O. dilahirkan pada bulan Oktober, 1957, iaitu dua bulan selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan daripada tangan penjajah Inggeris.

Marsli N.O. yang membesar dalam zaman kemerdekaan dapat meneliti dengan mata seninya yang peka tentang perubahan demi perubahan politik dan pembangunan tanah airnya, malah bakat kreatifnya tumbuh dan menjadi dewasa seiring dengan peralihan demi peralihan kuasa pentadbiran negara di tangan pemerintah anak watan sendiri. Hal ini kelak amat berkait dengan isi novel Penderhaka.

Pada dasarnya, Marsli N.O. wajar dilabelkan sebagai pengarang prolifik kerana kerajinannya berkarya. Sesuai dengan ungkapan yang ditulisnya sendiri: “Kebahagiaan saya yang terutama adalah menulis.” Lantas, tidak hairanlah kalau sepanjang penglibatannya dalam dunia penulisan karya kreatif, Marsli N.O. telah cuba meneroka dan menghasilkan karya dalam pelbagai genre seperti novel, puisi dan cerpen.

Antara karya yang dihasilkan Marsli N.O. ialah puisi “Negeri Ini, Anak” yang memenangi Hadiah Puisi Kebangsaan Esso – Gapena pada tahun 1989. Kemudian, cerpen “Belon” telah meraih Hadiah Cerpen Maybank – DBP pada tahun 1993, manakala cerpen “Pembela” turut meraih anugerah yang sama pada tahun 1994. Puisi “Begitu Kata Malam” pula memenangi Hadiah Sastera Perdana 1996/1997, dan cerpen “Menanti Buraq” terpilih meraih Hadiah Sastera Perdana pada tahun 2000/2001. Pada tahun 2003, cerpen berjudul “Menternak Hantu” telah memenangi Hadiah Utama (Kategori Cerpen) Hadiah Sastera Kumpulan Utusan –Exxon Mobil 2003. Kejayaan Marsli N.O. meraih pelbagai anugerah membuktikan beliau seorang yang berbakat besar dalam dunia penciptaan karya kreatif.

Berikut, karya-karya Marsli N.O. yang terbit secara eceran dalam akhbar dan majalah dihimpunkan dan diterbitkan dalam bentuk buku:

(1) Siapa di Balik Sana? (Kumpulan Puisi), 1986. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

(2) Bla Bla Bla (Kumpulan Puisi), 1990. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

(3) Ninabobok (Kumpulan Puisi), 1993. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

(4) Negeri Ini, Anak (Kumpulan Puisi), 1994. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

(5) Hanya Kata (Kumpulan Puisi), 1995. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

(6) Kepada Angin Juga (Kumpulan Puisi), 2007. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

(7) Biduan (Kumpulan Cerpen), 1994. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

(8) Penipu (Kumpulan Cerpen), 1997. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

(9) Demi (Kumpulan Cerpen), 1998. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

(10) Menanti Buraq (Kumpulan Cerpen), 2008. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Berdasarkan catatan biografinya, puisi Marsli N.O. diterjemahkan dalam bahasa Inggeris dan dimuatkan dalam ASEANO: An Anthology of Poems from Southeast Asia (1995). Ketika itu, Marsli N.O. terpilih mewakili negara ke Second ASEAN Writer’s Conference Workshop (Poetry) yang berlangsung di Manila, Filipina pada 27 Januari hingga 3 Februari 1995. Pada 21 hingga 27 Ogos 2003 pula, Marsli N.O. telah terpilih mewakili negara ke Singapore Writer’s Festival yang dianjurkan oleh National Art Council Singapore di Singapura. Selain mengarang, Marsli N.O. juga terlibat dalam persembahan teater dan acara baca puisi.

Penderhaka merupakan karangan yang disampaikan secara perlambangan oleh Marsli N.O. bagi memaparkan kisah insan yang berasa lingkungannya dalam keadaan yang bercelaru lantaran banyak orang tidak dapat berfikir secara rasional atau waras. Rata-rata manusia di sekitarnya mudah mengikut kata dan perbuatan orang lain. Perkara buruk dan baik sudah tidak mampu dipertimbangkan lagi. Jika orang yang berkuasa mengenakan dominasi atau pengaruhnya dalam lingkungannya demi kepentingan diri sendiri, maka orang di sekitar itu dilihatnya semacam “kerbau yang dicucuk hidung”. Mereka langsung tidak mempunyai upaya diri untuk berfikir atau untuk melepaskan diri daripada kongkongan kuasa tersebut.

Insan yang berwatak sebagai “Aku” oleh Marsli N.O. digambarkan cuba bangkit mengubah keadaan tersebut. “Aku” cuba memecahkan kuasa songsang para penguasa itu dan cuba menyedarkan masyarakatnya. Akibatnya, “Aku” menjadi terasing dan diasingkan oleh keadaan kerana bergerak menyongsang arus daripada alir perdana sungai kehidupan yang begitu lama melingkungi masyarakatnya itu.

Pendekatan Marsli N.O. dalam Mengarang Penderhaka

Jika diteliti isi kandungan dan gaya penceritaan Penderhaka, pengarang menggunakan kaedah penyampaian dalam gaya nouveau roman, iaitu gaya penceritaan dalam kesusasteraan Perancis yang diperkenalkan oleh Alain Robbe-Grillet, pengarang Perancis pada tahun 1950. Istilah nouveau roman ini diguna pakai secara meluas bermula pada 22 Mei 1957 apabila Robbe-Grillet menulis tentang Pour un Nouveau Roman untuk “describe certain writers who experimented with style in each novel, creating an essentially new style each time”(Collins English Dictionary, 2003). Robbe-Grillet sendiri telah memanfaatkan gaya ini dalam menghasilkan karya kreatifnya dalam genre novel dan filem. Pada dasarnya, gaya penulisan nouveau roman menolak kaedah, cara atau gaya lama dalam memaparkan plot, gaya penceritaan, aksi dan perwatakan para pendukung watak, penyuguhan idea dan sebagainya lagi. Maka dikatakan:

“… the ideal nouveau roman would be an individual version and vision of things, subordinating plot and character to the detail to the details of the world rather than enlisting the world in their service”. (The American Heritage Dictionary of the English Language (Fourth Edition), 2009).

Maka, gaya penulisan nouveau roman bersifat antiroman dan antinovel (Collins English Dictionary, 2003), iaitu seperti yang disebut dalam pernyataan di bawah:

A type of prose fiction in which conventional or traditional novelistic elements are rejected. A fictional work characterized by the absense of traditional elements of the novel, such as coherent plot structure, consistent point of view, and realistic character portrayal.” (The American Heritage Dictionary of the English Language (Fourth Edition), 2009).

Hal ini bermakna, sifat konvensional dan tradisional dalam cara penyampaian cerita, elemen cerita, perkaitan dalam struktur plot, sudut pandangan yang konsisten, dan penggambaran watak secara realistik telah dinafikan. Oleh sebab itulah Robbe-Grillet dalam novelnya The Voyeur (1995) menyifatkan isi novelnya sebagai “… mysteries in which the reader is left to solve the puzzle without ‘authorized’ explanation”. Hal ini bermakna khalayak pembaca dituntut berfikir untuk memahami cerita yang dibaca olehnya. Bukan hanya menunggu penerangan rinci daripada pengarang tentang isi cerita yang ditulis olehnya. Hal ini demikian kerana cerita bukan disampaikan dengan mudah dan tersusun oleh pengarang, sebaliknya dalam bentuk keratan yang terputus-putus, lantas perlu disusun kembali oleh minda khalayak pembaca pada akhir cerita. Oleh sebab itulah, panel anugerah Critics’ Prize yang memilih The Voyeur sebagai pemenang pada tahun 1955 menyebut, novel yang berlandaskan teknik nouveau roman ini “was not a ‘novel’ at all.” (Alain Robbe-Grillet, 1998).

Berdasarkan huraian tentang nouveau roman di atas, maka Penderhaka dilihat berada dalam ruang litup gaya penulisan ini. Hal ini demikian kerana watak dalam Penderhaka ditampilkan oleh Marsli N.O. dalam bentuk antiwatak dengan watak wira bukan lagi sempurna seperti wira konvensional yang kacak tampan; atau wira tradisional yang bijak, kuat, dan mampu melakukan apa-apa sahaja, biarpun amat sulit. Wira konvensional atau tradisional selalu dipaparkan menang dalam setiap pertikaian, dan cerita kehidupan mereka lumrahnya berakhir dengan “kesudahan yang membahagiakan”. Hal ini ternyata amat berbeza dalam novel Penderhaka kerana watak utamanya dipaparkan sebagai antiwira, misalnya:

Sekalian helang pantas memintas. Dadaku terbelah. Semuanya terbelah. Memang kau sudah gila!Dan tidak semena-mena Diri ketawa terbahak-bahak. Ketawa sesungguh hati. Sehinggakan seluruh tubuh tergoncang-goncang… . Dan tiba-tiba. Tri-la-la. Trila-la. Kembali terngiang-ngiang di telinga. Tri-la-la. Tri-la-la. Tri-la-la. Berkali-kali. Dan perlahan-lahan, diri ikut menyebutnya: Tri-la-la. Tri-la-la. Tri-la-la. Semakin lama semakin nyaring dan lantang. (hlm. 3)

Kutipan itu menunjukkan watak utama dianggap gila, malah pada suatu masa dan suatu keadaan tertentu, watak itu mengikut sahaja perlakuan orang lain, manakala pada suatu masa dan suatu keadaan yang lain pula, watak itu kembali menjadi dirinya sendiri dengan menonjolkan akal diri yang berpegang  kuat kepada kebenaran dan keadilan.

Sebagai karya nouveau roman, watak dalam Penderhaka dipaparkan oleh Marsli N.O. boleh berubah bentuk fizikalnya menjadi apa-apa sahaja. Misalnya watak utama boleh terbelah dadanya, dan boleh pula ditumbuhi sayap dan terbang:

Dan. Dan apa? … Dadaku terbelah. Semuanya terbelah … tidak pasti entah kenapa. Sekalian helang saling bertukar pandang sesama sendiri. Dan seekor demi seekor mulai terbang. Meninggalkan diri sendirian di situ. Dan tiba-tiba… . Semakin lama semakin nyaring dan lantang. Dan diri perlahan-lahan mengepakkan sayap. Diri mulai terbang. Perlahan-lahan. Perlahan-lahan. Dan tanpa sedar diri kini sedang mengitari puncak sebuah bukit. Perlahan-lahan diri merendahkan layangan. (hlm. 3-4)

Sementara itu, watak lain pula dipaparkan mempunyai garis luka yang panjang di tubuh mereka dan berwajahkan haiwan: Hanya kalau ada sesuatu yang dapat dikatakan sebagai tanda atau petunjuk bagi musibah tersebut, tanda itu tidak lain hanyalah segaris luka yang agak panjang dan dalam pada wajah sekalian warga di daerah yang selama ini tersohor kerana makmur dan permainya itu. Akan tetapi anehnya, daripada luka yang agak panjang dan dalam itu sedikit pun tidak mengucurkan darah dan lebih menganehkan lagi, mereka semuanya berwajah haiwan! (hlm. 32-33)

Selain itu, manusia dan haiwan turut digambarkan mempunyai sifat yang luar biasa daripada tabii sebenarnya. Manusia meratah kulit kayu, serigala berwajahkan manusia dan kemudian serigala itu pecah berkeping-keping lantas dimakan pula oleh sebatang pohon yang rendang:

Di lereng bahagian Timur kelihatan segerombolan singa sedang mengerumuni batu sebesar pemeluk. Di lereng bahagian Barat pula kelihatan sekelompok manusia sedang meratah kulit-kulit kayu. Di lereng bahagian Utara pula kelihatan tiga ekor serigala berwajahkan manusia sedang tercenung-cenung di bawah sebatang pohon rendang. Diri mengamat-amati sesungguh hati. Memang tidak salah lagi. Dan tiba-tiba kelihatan tiga ekor serigala berwajahkan manusia yang sedang tercenung-cenung di bawah sebatang pohon yang rendang itu tiba-tiba bertukar bentuk dan sifatnya menjadi sesuatu yang lain. Sesuatu yang entahkan apa. Sesuatu yang tidak dapat hendak digambarkan dengan kata-kata. Dan kemudian, tiga ekor serigala berwajahkan manusia yang kini telah bertukar bentuk dan sifatnya menjadi sesuatu yang lain itu kelihatan perlahan-lahan mulai pecah berkeping-keping. Dan sedikit demi sedikit, dalam sekelip mata, menjadi habuan pohon yang rendang itu pula. (hlm. 4)

Gambaran ini menunjukkan bahawa penulisan gaya nouveau roman membenarkan pengarang berimaginasi sebebasnya dalam mengolah dan menggubah watak, perwatakan, sudut pandangan serta plot ceritanya. Pemaparan watak yang berubah dalam pelbagai bentuk ini merupakan suatu cabang identiti nouveau roman, seperti yang dijelaskan oleh Robbe-Grillet apabila memperkatakan kemenangan novelnya La Reprise (2001); bahawa “All my novels are comic” dan “The narrator is unsure of the external world; he is told that he is being dreaming… .” (Alain Robbe-Grillet”, 1998). Maka, pengarang seperti Franz Kafka yang menghasilkan metamorfosis telah melakarkan watak utama dalam novelnya berubah menjadi seekor lipas yang besar. Sementara itu, Kipandjikusmin dalam “Langit Makin Mendung” (Majalah Sastra, Ogos 1966) telah mengimaginasikan Tuhan dan Nabi, sedangkan A.A. Navis dalam Robohnya Surau Kami telah mengimaginasikan Tuhan, syurga dan neraka dengan caranya yang tersendiri.

Walau bagaimanapun, Penderhaka tidaklah pergi sejauh itu, hingga melibatkan soal pegangan agama dan akidah. Sebaliknya, Penderhaka lebih berfokus kepada politik dan mencerminkan ketidakpuasan hati Marsli N.O. terhadap situasi politik tanah air yang baginya kadang-kadang begitu melemaskan fikiran dan menjengkelkan hatinya.

Bagi menggambarkan ketidakpuasan hatinya terhadap suasana politik tanah air, maka penggunaan gaya penulisan nouveau roman oleh Marsli N.O. dilihat amat sesuai kerana tema dan persoalan yang mahu digarapnya dapat disamarkan malah, latar tempat turut disamarkan dengan membaurkan latar yang konkrit dengan yang abstrak. Misalnya apabila “Aku” yang memang tidak jelas identitinya telah dicairkan bentuknya daripada jisim sebagai manusia biasa kepada bentuk nukleus yang tidak lagi dapat diraba oleh mata kasar dan tidak dapat dikenal pasti keberadaannya di mana-mana. Hal yang dipancang oleh pengarang inilah yang membawa karyanya ke dalam kelompok penulisan nouveau roman.

Selain itu, khalayak pembaca turut dituntut supaya berfikir dengan mendalam tentang cerita yang digarap olehnya. Lebih mencabar lagi, dalam karyanya ini, Marsli N.O. telah “mengoyak” isi ceritanya menjadi “perca-perca” peristiwa (atau dikatakan teka-teki oleh Robbe-Grillet), sehingga khalayak pembaca sendiri yang perlu “menjahit” atau “mencantumkan” kembali perca-perca peristiwa itu supaya menjadi sebidang cerita yang dapat difahami. Hal ini bermakna plot cerita dalam novel gaya nouveau roman bukanlah diolah secara tersusun dan mudah, sebaliknya secara tidak jelas terpotong-potong, jungkir balik, atau dikatakan bersifat antiplot. Penampilan cerita dalam gaya ini menawarkan suatu kaedah penyampaian cerita yang berlainan kepada khalayak pembaca. Penghasilan novel dalam gaya seperti ini sangat langka di Malaysia. Jadi, tidak hairanlah kalau Marsli N.O. pernah menjaja manuskrip karyanya ini selama sembilan tahun, sebelum diterbitkan hasil inisiatif DBP Wilayah Timur!

Berbalik kepada persoalan politik dalam Penderhaka, penggunaan gaya penulisan nouveau roman ini dapat menyamarkan konflik yang ditanggung oleh watak utama “Aku”. Akibat daripada kebodohan masyarakat dalam lingkungannya dan kerenah Sang Penguasa untuk terus berkuasa dan mengukuhkan kedudukan politiknya, Sang Penguasa ternyata berkebolehan mendominasi masyarakatnya hingga mereka menjadi manusia yang keliru, kehilangan identiti, terikut-ikut dengan tindakan dan kata-kata orang lain. Sehingga antara mereka ada yang sanggup menjadi tali barut orang tertentu yang gila kuasa, lantas sanggup menekan dan menganiayai orang lain dalam usaha untuk bersaing merebut kuasa dan mempertahankan kedudukan masing-masing. Selain itu, ada juga insan yang terpesona akan dirinya sendiri lantas berasa dirinya pandai dan pakar dalam hal tertentu. Maka, dia ingin kata-katanya diterima pakai oleh banyak orang.

Demikianlah. Hari berganti minggu dan minggu berganti menjadi bulan. Semakin lama semakin ramai muncul dan tampil orang yang mengaku dirinya ahli dan pakar dalam bidang tertentu. Masing-masing menampilkan diri dan mengacungkan pendapatnya sendiri dan sekali gus mencemuh pendapat orang lain yang mengaku dirinya ahli dan pakar dalam bidang tertentu sebelum dirinya. Dan mereka yang mengaku dirinya ahli dan pakar dalam bidang tertentu yang telah dicemuh pendapatnya itu kembali membalas dengan cemuhannya. Sehingga akhirnya terjadilah cabar dan mencabar, tuding dan menuding sesama mereka yang mengaku dirinya ahli dan pakar dalam bidang tertentu itu. Keadaan menjadi gamat dan riuh-rendah dengan perdebatan yang seru.

Masing-masing mahu menang sendiri dan sekali gus juga mahu menonjolkan dirinya sebagai seorang yang memang benar-benar ahli dan pakar dalam bidang tertentu dan sekali gus juga berusaha agar pendapatnya diterima secara mutlak. Mujur di tengah-tengah keadaan yang demikian itu Sang Penguasa pantas bertindak. Melalui salah seorang juaknya, segeralah dicanangkannya arahan agar segala perdebatan dan pendapat yang saling bertentangan daripada sekalian mereka yang mengaku para ahli atau pakar itu, jika tidak dibuktikan dengan ujian serta percubaan yang sahih lagi terperinci serta tidak mendapat pengesahan dengan mohor daripada pejabat Sang Penguasa terlebih dahulu, hendaklah segera dihentikan. (hlm. 28-29)

Pada hakikatnya, persoalan politik seumpama ini adalah lumrah dalam kehidupan masyarakat di mana-mana tempat pun di dunia ini. Apabila bangkit seorang yang sedar akan permainan kuasa politik ini dan mula menentangnya, maka mereka itu akan digelar sebagai “penderhaka”. Apatah lagi jika orang yang sedar itu turut menyedarkan orang yang lain pula.

“Huwah!Huwah!!!” Salah seorang daripada lelaki berkerudung hitam yang sedang merubungi dupa itu berteriak lagi. Tubuhnya kian kencang bergoncang-goncang. Dan kedua-dua belah tangannya tinggi diacungkan ke udara. Mulutnya kelihatan ternganga lebar. Dan kedua-dua bola matanya kelihatan merah bersaga-saga.

“Huwah!Huwah!!!” salah seorang daripada lelaki berkerudung hitam yang sedang merubungi dupa itu berteriak lagi.

“Huwah!Huwah!!!” sahut sekalian yang hadir.

“Huwah!Huwah!!!” Salah seorang daripada lelaki berkerudung hitam yang sedang merubungi

dupa itu berteriak lagi.

“Huwah!Huwah!!!” sahut sekalian yang hadir. “Kenyataan dan kebenaran tidak akan dapat ditewaskan. Biar dengan apa sekalipun!” teriak pemuda kurus melidi itu. Kelima-lima lelaki

berkerudung hitam itu kini diam tidak berkutik.

“Upacara ini tidak lebih hanyalah satu sandiwara. Dan keramat yang kalian canang-canangkan itu hanyalah omong kosong. Kalian adalah pembohong!” tempik pemuda kurus melidi itu lagi sekuat-kuat hatinya. Dan pada detik yang sama tali yang membelit seluruh tubuhnya itu disentap sekuat-kuat tenaga. Tali itu putus dan terlerai daripada tubuhnya. Dan dengan mata yang merah bersaga-saga, dihampirinya kelima-lima lelaki berkerudung hitam itu. Sekalian yang hadir bersorak-sorak. Dan kelima-lima lelaki berkerudung hitam itu kelihatan terketar-ketar seluruh sendi serta anggota tubuhnya. (hlm. 24)

Bagi mengelakkan kuasa yang dipegang oleh si penguasa menjadi goyah atau tersungkur, maka biasanya orang yang digelar “menderhaka” itu akan diperingatkan dengan amaran keras bahawa mereka akan ditangkap dan disita. Marsli N.O. ingin menggambarkan hal ini dalam novelnya, sesuai dengan kewujudan I.S.A. (Internal Security Act).

“Ingat. Barang siapa yang mengingkari arahan ini, hukumannya tidak lain dan tidak bukan adalah akan dikenakan hukuman yang seberat-beratnya. Akan hukuman itu, tidak lain dan tidak bukan ialah, diasingkan ke Pulau Sita berserta dengan kerja berat.” Demikianlah adanya juak itu mengakhiri canangnya dengan suaranya yang lantang itu. (hlm. 29)

Sang Boragas itu sesungguhnya tidak lain dan tidak bukan adalah salah seorang daripada kita. Kita yang selama ini mengaku dirinya seorang manusia tetapi tanduk dan tindaknya bukan tanduk dan tindak seorang manusia. Akan tetapi, tanduk dan tindak seekor boragas. Seekor boragas yang tega membaham sahabat atau orang kepercayaannya sendiri semata-mata kerana sebuah kerusi atau sesuatu kepentingan demi temboloknya sendiri. Lalu bagaimana sekarang? Mahu jadi apa kalian? Dan yang berikutnya, tentu kau pun akan dapat menebak sendiri akan pengakhirannya. Barangkali beberapa batang jasad lagi akan dibisukan mulutnya. Barangkali beberapa batang jasad lagi akan dipenggal kepalanya. Barangkali beberapa batang jasad lagi akan disirnakan kedua-dua belah kaki atau tangannya. (hlm. 156)

Maka, “Aku” yang “malas” berhadapan dengan segala permasalahan politik yang wujud itu telah  memilih untuk membisukan diri, meskipun jiwa raganya mempersoalkan sampai bila “Aku” akan menjadi manusia yang menafikan nilai dan kepentingan kejujuran dalam hidupnya:

Duniaku adalah dunia yang terpisah jauh daripada dunia orang lain. Bagaikan sebuah pulau kecil dan asing di antara sekian banyak pulau-pulau lain yang sentiasa riuh. Dan kerana itu juga, sudah bertahun-tahun aku tidak mahu lagi mencampuri urusan sesiapa selain urusan diriku sendiri. Mulut juga telah kukuncikan rapat-rapat dan berkata hanya apabila benar-benar perlu. Apa yang didengari tidak mahu kuambil peduli jikalau tidak berkenaan atau bersangkutan dengan diriku. Benar. Lidah manusia memang tidak bertulang. Dan, lantaran itulah orang sering berbicara seenak mulutnya. Tanpa mempedulikan apakah yang diucapkan daripada lidahnya itu menyinggung perasaan orang lain ataupun tidak. Dan bukan sekali atau dua Aku mengalami itu. Malah entah berapa ratus kali sudah. Atau mungkin juga sudah entah ribuan kali. Hatiku berasa sakit bukan kepalang. Kalau satu atau dua kali bolehlah diri bersabar. Akan tetapi, kalau sampai ratusan atau mungkin ribuan kali, bagaimanakah akan dapat terus bersabar? Akan tetapi, mahu diapakan? (hlm. 43-44)

Secara tidak langsung, pertanyaan yang ditinggalkan oleh Marsli N.O. dalam novelnya ini dapat dibaca sebagai pertanyaannya kepada dirinya sendiri yang berpegang kepada prinsip mesti “nyatakan sesuatu yang benar, meski pahit”. Namun, upaya Marsli N.O. masih terbatas. Walau  bagaimanapun, Marsli N.O. tetap cuba bersuara seperti catatannya dalam laman sesawangnya pada hari Selasa, 10 Mei 2011 bahawa:

“Untuk sekian hal dan perkara, itulah ucapan yang  ingin saya sebut serta katakan dan memaklumkan kepada sesiapa yang berkenaan; saya masih lagi belum menjadi lembu walau cuba diperlembukan dengan pelbagai cara. Tahniah untuk segala hal dan perkara, yang di atas namakan mendahulukan segalanya atas nama rakyat. Kilang memproses nadir bumi, harga petrol dan gula yang dinaikkan. Tahniah!”

Lantas, suara Marsli N.O. di luar karyanya adalah sama seperti “Aku” dalam novel ini yang  menentang dominasi kuasa ke atasnya. Namun dalam ketidakupayaannya untuk mengubah keadaan, Marsli N.O. berkata:

“Marah? Jengkel? Oh, tidak. Untuk apa saya marah dan jengkel. Sebagai rakyat bukankah peranan saya adalah menerima dan menerima?

Kata-kata itu berpadanan dengan kata-kata “Aku” bahawa:

“Di manakah nilai dan letaknya kejujuran? Di manakah nilai dan letaknya kejujuran?” (hlm. 45)

Namun, ketidakupayaan diri untuk mengubah keadaan menyebabkan Marsli N.O. melalui watak “Aku” menyebut:

“Akan tetapi, mahu diapakan?” (hlm. 43-44)

Penderhaka pada dasarnya membawa isu politik yang bersifat sejagat kerana persoalan dominasi kuasa dan tindakan menghalalkan apa-apa sahaja perbuatan demi mengekalkan kuasa adalah perkara biasa di mana-mana tempat pun di dunia ini. Tindakan ini ada baik buruknya. Kalau terlalu bebas, mungkin keamanan yang dicari akan menjadi impian semata-mata, manakala kalau terlalu disekat, mungkin yang diperintah akan bangun memberontak.

Lantaran isu yang disodorkan Marsli N.O. ialah menyodorkan isu politik. Memang cantik sekali apabila novel ini disampaikan dalam gaya penulisan nouveau roman. Gaya penyampaian cerita yang penuh dengan perlambangan, falsafah dan watak yang dibangunkan tanpa identiti yang jelas. Maka, akan menyebabkan khalayak pembaca harus bekerja keras dalam merungkai makna tersirat yang terkandung dalam novel ini. Persoalan politik yang disamarkan pula dapat menyekat bangkitnya rasa sensitif orang atau kelompok masyarakat tertentu. Lumrahnya masyarakat Melayu memang lebih gemar dikiaskan daripada ditegur secara berhadapan.

Novel dalam gaya penyampaian seumpama ini juga amat diperlukan untuk mengisi dunia kesusasteraan tanah air, khususnya untuk dunia akademik bagi diperkenalkan kepada khalayak pembaca dalam kalangan pelajar di institusi pengajian tinggi. Novel Penderhaka mampu mencabar pemikiran khalayak pembaca kerana hanya melalui pendekatan secara pembacaan tertutup sahaja, maka novel yang abstrak sifatnya lantaran diolah secara antiwatak, antiwira, antilatar dan antiplot ini akan dapat difahami dan dimaklumi khalayak pembaca dengan baik.

___

Ulasan ini diambil daripada Dewan Sastera September 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

Be Sociable, Share!