Oleh MUHD. MANSUR ABDULLAH

Yang kurik itu kundi,
Yang merah itu saga;
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.

Saya ingin memberikan pandangan tentang “Indah Bahasa Indahlah Sastera” seperti yang dibicarakan dalam Dewan Sastera Oktober 2011. Indah sastera kerana bahasanya. Memang tidak dapat dinafikan lagi. Setelah meneliti ungkapan pantun di atas sahaja, lantas kita terus membuat kesimpulan bahawa mereka yang berbuat baik itu ialah mereka yang berbudi dan yang indah itu pula ialah bahasanya.

Memang tidak ada sesiapa dapat menafikan ukuran kecantikan dan kemuliaan seseorang insan itu terletak pada hati budinya yang merangkumi sopan santun dan budi bahasa di dalamnya. Budi pekerti mulia itu memang cantik, tetapi budi bahasa itu lebih indah lagi. Apabila seorang insan memiliki kedua-dua unsur ini, iaitu berbudi dan berbahasa, maka dia pantas dianggap berpekerti mulia.

Budi bahasa itu ialah sifat seseorang manusia yang merangkumi budi pekerti, sopan dan santun, mesra dan mulia. Semua elemen ini pula merupakan cermin keperibadian seseorang insan sebenarnya. Yang dimaksudkan berbudi pula ialah sifat dan juga tingkah laku seorang insan ketika dia berbicara. Di sini ternyata unsur berhemah tinggi, beradab sopan, bertatatertib semasa menuturkan kata-kata lebih dipandang mulia oleh masyarakat. Apabila seseorang insan itu bertutur dengan bahasa yang halus, indah, lembut dan dalam gaya yang mesra, maka dia akan lebih mudah disenangi ramai daripada individu yang berbahasa keras, kasar, tegang dan apalagi kalau celopar!

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Sastera Disember 2011. Jika anda berminat untuk membaca seterusnya, sila ke sini.

Be Sociable, Share!