Oleh RAZALI ENDUN

Fikir abah, barangkali nenek tidak suka warna hijau yang dibelinya dulu, dan yang terbaharu abah pilih warna biru laut pula. Mana tahu kali ini nenek berkenan dan akan membentangkannya pada hari raya nanti. Raya ini abah tetap mahu nenek menghamparkan permaidani baharu ini menggantikan tikar mengkuang nenek. Kata abah, tikar mengkuang sudah tidak sesuai lagi pada zaman ini.

Tikar mengkuang nenek sudah menjadi pertikaian dalam keluarga kami. Setiap kali tetamu datang, tikar mengkuang itulah yang dibentangkan nenek. Setiap kali kami sekeluarga datang bertandang, abah pasti berang melihat nenek membentangkan tikar mengkuang. Kata abah, tikar itu sudah usang, patut dibuang. Nenek membantah. Ujar nenek, usah dibuang tikar mengkuang. Biarpun buruk, nenek amat sayang. Kata nenek, tikar itu tinggalan moyang. Jasanya sudah terbilang.

Abah tidak senang apabila nenek membentangkan tikar mengkuang menyambut tetamu datang. Perbuatan nenek memalukan abah, status Tan Srinya perlu dijaga. Nenek masih berdegil. Kata nenek, ayah tidak perlu gusar, tikar mengkuang itu dibentangkan di rumah nenek, bukan di rumah abah. Nenek bebas berbuat apa-apa sahaja di rumahnya. Sebab itu nenek enggan tinggal bersama-sama abah di rumah banglo besar dua tingkat. Nenek lebih senang duduk seorang diri di rumah papannya di pinggir bendang. Semenjak atuk meninggal, rumah itulah menjadi kediaman nenek berseorangan. Di situ nenek berasa aman dan tenteram.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Sastera Disember 2011. Jika anda berminat untuk membaca seterusnya, sila ke sini.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks