Oleh Baha Zain

1 Ogos 2011 jatuh pada 1 Ramadan 1432, hari dan bulan paling mulia bagi umat Islam kerana Ramadan adalah penghulu daripada segala bulan; dan Ogos adalah bulan kemerdekaan bahasa, kebudayaan dan politik negara. Bulan apakah yang lebih keramat daripada bulan ini untuk bermuhasabah, memohon kemaafan atas kesilapan, dan meminta petunjuk untuk masa hadapan?

Tepat pada hari yang sangat bermakna itulah juga urusan kerja (pracetak, percetakan, pengedaran dan pemasaran) antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan Dawama Sdn. Bhd gagal sama sekali, setelah kelancaran perhubungan antara kedua-dua belah pihak beberapa tahun sebelumnya, tersengguk-sengguk seperti kereta tua yang kotor palam pencucuh atau plagnya.

Kegagalan besar ini melampiaskan banyak tafsiran dan kesan. Di mana kesilapan dan kelemahannya? Idealisme asalnya adalah supaya DBP boleh menumpukan sebahagian besar sumber daya manusia, ruang pejabat, waktu dan kewangan untuk urusan intelektual, kreatif dan profesional dalam kegiatan kebahasaan, kesusasteraan dan penerbitan; dan syarikat konsesinya (Dawama Sdn. Bhd.) memusatkan aktiviti pada kerja teknikal pengeluaran, percetakan, pengedaran, pemasaran dan penjualan. Demikianlah rasional bagi membahagi-bahagikan pelbagai urusan pekerjaan yang ada supaya hasilnya lebih banyak dan mutunya terkawal, demi kepentingan kedua-dua belah pihak. Malangnya apabila banyak projek penswastaan lain di negara boleh berjaya, tetapi yang ini gagal. Mengapa? Kalau Dawama sebagai syarikat sendirian berhad gagal, itu adalah risiko yang biasa menimpa mana-mana syarikat perniagaan swasta. Kalau kegagalan ini menimbulkan kesan terhadap kelancaran pembinaan bahasa kebangsaan dan persuratan Melayu, penerbitan buku umum serta teks sekolah, dan majalah-majalah yang telah mempunyai tradisi serta sejarah hampir 50 tahun, maka DBP berada dalam perhatian yang negatif. Hal ini memberikan implikasi yang buruk, dan DBP sebagai institusi awam sukar memberikan alasan dengan menunjuk kepada pihak lain. Sebagai contoh, banyak pengarang menandatangani perjanjian penerbitan dengan DBP sebagai penerbit, bukan dengan Dawama, dan mereka tidak boleh menyeret Dawama ke pintu pengadilan andainya manuskripnya hilang atau ada pertikaian lain.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Sastera September 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

Be Sociable, Share!