OLEH BAHA ZAIN

Sejarah merupakan kisah atau cerita tentang peristiwa yang berlaku pada masa lampau. Ada sejarah tentang kemelut politik, sosial, ekonomi, atau keselamatan. Apa yang berlaku di negara kita pada pertengahan tahun ini merupakan pertengkaran atau perbalahan pendapat tentang siapakah sebenarnya pejuang kemerdekaan pada masa lalu? Perbalahan pendapat inilah sebenarnya menjadi kemelut. Apa-apa yang terdahulu pernah berlaku sebelum negara mencapai kemerdekaan, tetap telah berlaku sebagaimana adanya apa jua pendapat orang sekarang.

Isu sejarah ini menjadi besar kerana mereka yang terlibat di tengah-tengah gelanggang kemelut itu merupakan orang politik yang bertentangan parti; dan diapi-apikan lagi oleh media lalu diseret ke tengah beberapa pihak lain termasuk ilmuwan. Soalnya selepas berlaku semua pandangan yang berbeza ini (bukan tentang pendekatan, teori atau falsafah sejarah), adakah aktor atau pelakon dalam drama

sejarah pada masa lalu itu boleh bertukar menjadi orang lain? Misalnya pejuang antipenjajah Inggeris atau Jepun, bukan Maharaja Lela, Datuk Bahaman, Ishak Haji Muhamad, Ibrahim Yaakob, Boestamam, Abdullah CD, Rashid Maidin, Abu Samah, Shamsiah Fakeh, Siti Norkiah, Dr. Burhanuddin Helmi, Dato’ Onn Jaafar, atau Tunku Abdul Rahman dan banyak lagi. Sekalian nama ini benar-benar bernafas dalam kepekatan peristiwa politik yang menjadi bahan penulisan buku sejarah, dan malah novel moden Malaysia. Nama di atas terlibat dalam pergolakan sosial dan politik tanah air sebelum kembali ke alam akhirat. Sekali berjuang, nama dan perbuatan mereka akan dihitung. Siapakah yang layak menjadi penghitung buruk dan baik perbuatan mereka?

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Sastera November 2011. Jika anda berminat untuk membaca seterusnya, sila ke sini.

Be Sociable, Share!