OLEH: NORIAH MOHAMED

Aku dilahirkan di Sabak Bernam, Selangor, 67 tahun yang lalu. Usia aku kini di hujung-hujung perjalanan dan tidak tahu waktu aku akan dijemput oleh Allah SWT. Hanya Dia yang Maha Mengetahui segala-galanya. Namun demikian, aku tetap bersyukur kerana memberiku peluang menikmati hidup yang penuh enak, seperti Jangan Bening (sayur bening) dan pedas seperti, Sambal Lombok Rawit (sambal tumis cili padi).

Pada awal tahun 1950-an, aku bersekolah umum di Sabak Bernam pada waktu pagi dan sebelah petang pula bersekolah di Sekolah Agama Batu 2, Sepintas, Sabak Bernam. Waktu itu, aku tidak mengenal lampu neon atau jalan mulus tar seperti di kota. Yang kukenal hanyalah lampu pelita (sentir) dan kadangkala lampu gas. Jalan ke sekolah penuh lumpur dan kasut/sepatu sesuatu yang amat berharga. Berjalan sering berkaki ayam dan sepatu hanya kupakai sewaktu berada di sekolah.

Aku berasal daripada keluarga keturunan Jawa dan kerana inilah yang membuatkanku merindu dan mencari akar asalku sehingga aku mempelajari bahasa Jawa di Universitas Gadjah Mada di Yogyakarta, dan tahun 1976 hingga 1977. Aku memperoleh ijazah Sarjana serta Kedoktoran dalam bidang yang sama. Ayahku anggota polis di Kuala Lumpur. Pada mulanya, aku ingin dihantar ke sekolah Inggeris di Kuala Lumpur, tetapi aku menolaknya kerana aku ingin mempelajari ilmu yang dekat dengan Melayu Islam. Maka, aku bersekolah Melayu dan agama di kampungku.

Sewaktu di sekolah rendah inilah aku sering mencari wang saku dengan menjual kuih, nasi lemak dan sambal sotong kepada emak saudara dan ahli keluarga di Kampung Batu Satu, Sepintas. Selain itu, pada hujung minggu, aku mencungkil kelapa kering dengan memperoleh bayaran sebakul dengan harga 30 sen. Wang sebanyak itu sudah cukup untuk aku menikmati mi goreng mamak yang menjadi kegemaranku.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Sastera November 2011. Jika anda berminat untuk membaca seterusnya, sila ke sini.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks