Oleh Muhammad Haji Salleh

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya sering merujuk Malay Concordance Project (MCP). Projek ini menyalin ratusan karya sastera Melayu lama dan memasukkannya ke dalam program yang dapat menyenaraikan semua perkataan dalamnya. Seterusnya, jika seseorang pengkaji memilih salah satu perkataan ini, maka dia akan diberi lokasi perkataan itu digunakan, dalam knteksnya, dalam bentuk pendek dan juga yang lebih panjang. Oleh yang demikian, sekiranya saya ingin menyemak istilah penting berhubung dengan kajian cinta dalam sastera Melayu, katakan dalam 20 buah karya lama, maka saya akan mendapat hadiah besar dan cepat pula daripada projek ini. Yang lebih penting, konteks kata-kata itu. Daripadanya, saya dapat menyimpul pelbagai maknanya, dan dalam suatu kronologi penciptaan atau penyalinan karya ini. Maklumatnya didahului sejarah ringkas teks itu dan hal penting tentangnya (termasuk tahun ditulis atau disalin, pengarang/penyalin, dan lokasinya sekarang). Sebagai tambahan, kita dapat menyemak kata berirama, tetapi sayang, saya hanya sedar kemudahan ini beberapa waktu yang lalu, sewaktu saya sudah menerbitkan Kamus Rima Bahasa Melayu (2011) yang saya kerjakan secara manual.

Projek besar lagi penting ini digerakkan dan diuruskan oleh Ian Proudfoot di Australian National University, Canberra. Dengan sokongan kita semua, (dengan cara mengirim transkripsi karya lama yang belum dimasukkan), projek ini terus berkembang dan membawa manfaatnya.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Sastera November 2011. Jika anda berminat untuk membaca seterusnya, sila ke sini.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks