OLEH: ZALEHA AHMAT

“MASIH adakah waktu zuhur untuk saya?” Nuh terpinga-pinga. Tidur yang tidak lena selalu membuatkan fi kirannya menjadi kabur. Wajah lelaki yang datang di hadapan Nuh memakai tampang Melayu. Namun, lelaki tersebut bukan orang tempatan. Nuh membuat andaian itu tujuh saat setelah menatap diri lelaki itu atas bawah; pakaiannya, gaya dan lenggok cakapnya. “Masih ada waktu zuhur untuk saya?” Lelaki itu mengulang tanya. Mata Nuh liar mencari jam di dinding surau. Sudah melebihi pukul 4.00 petang. Di daerah orang, Nuh kurang pasti detik tepat waktu solat.

Nuh tidak mendengar suara azan di surau kecil di bangunan kolonial tua. Khabarnya, di daerah ini azan keliling dari tempat bilal melaung suara. Mungkin juga cuping telinga Nuh ikut terlelap antara cubaan matanya berjaga sementara menunggu saat berlalu. Seperti baru tersedar, Nuh memberi jawab setelah terpinga-pinga agak lama. Sekali gus, jawapan itu menutup rasa malu kerana tanpa reaksi serta merta.

“Agaknya waktu zuhur sudah lepas. Minta maaf. Saya tak pasti.” Ada nada ragu-ragu dalam suara Nuh.

Lelaki asing itu datang menghampiri Nuh. Dia melabuhkan punggung di atas permaidani kasar akibat diratah masa. Beg yang menjadi bantal peluk ketika tidur tadi Nuh tarik ke sisi. Mereka duduk menghadap antara satu sama lain. Nuh bersila. Lelaki itu juga menyusun letak kaki yang sama.

___

Cerpen ini dipetik daripada Dewan Sastera November 2011. Jika anda berminat untuk membaca seterusnya, sila ke sini.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks