Oleh FADLI AL-AKITI

Pada empat petang 13 Disember 2011, banjir melanda Jalan Tun Abdul Razak di depan Perpustakaan Negara, Kuala Lumpur. Pengguna jalan jadi riuh. Sebuah teksi dan sebuah lori terperangkap di kelilingi air. Kuala Lumpur mengalami jeda seketika.

Fenomena alam itu semacam merestui kemenangan utama karya nukilan Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan di dalam Auditorium Perpustakaan Negara. Anwar Ridhwan telah menulis novel yang sekali lagi menggunakan realisme magis dengan acuan tempatan. Kemenangan novel terbaharunya, Penyeberang Sempadan semacam penanda daripada alam yang turut sama-sama meraikan kemenangan Anwar Ridhwan, menenggelamkan separuh daripada jalan di depan Perpustakaan Negara. Mata masyarakat menonton, ternganga. Tentu ini rahmat Tuhan.

Anwar Ridhwan yang mendapat Tempat Pertama Hadiah Sako III (Novel Nasional), berjaya membawa balik hadiah wang tunai bernilai RM30,000, terpilih daripada 40 penyumbang manuskrip lain yang mencuba. Sebelum ini, Anwar Ridhwan pernah memenangi pengiktirafan tinggi dalam genre novel untuk karyanya Naratif Ogoshonto dan Hari-hari Terakhir Seorang Seniman.

Di dalam dewan, terpampang gah tirai “Majlis Penyampaian Hadiah dan Pelancaran Buku Hadiah Sako III (Novel Nasional) Kumpulan Utusan-Institut Terjemahan Negara Malaysia”. Majlis ini turut mendapat kerjasama Perpustakaan Negara Malaysia. Menteri Kewangan II Malaysia, Datuk Seri Haji Ahmad Husni Mohamad Hanadzah yang menyempurnakan majlis tersebut. Turut hadir, Pengerusi Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), Datuk Dr Sharuddin Md Salleh, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin, Pengarah Urusan ITNM, Encik Mohd Khair Ngadiron dan Pengarah Eksekutif Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, Dr. Ahmad Hairi Abu Bakar.

Hadiah ini sememangnya berprestij dan begitu ditunggu-tunggu dalam kalangan penulis. Bukan sahaja kerana nilai pengiktirafannya, tetapi kerana nama “Pak Sako” yang dibawa, mempunyai nilai yang amat tinggi dalam dunia kesusasteraan dan persuratan kebangsaan serta kebaikan yang sudah dibaktikan terhadap bangsa.

Encik Mohd Khair Ngadiron memahami kepentingan ini apabila beliau mengatakan bahawa “Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako adalah nama besar dalam sejarah ketamadunan bangsa Malaysia. Jiwanya besar dan pemikirannya juga tidak henti diperkatakan sehingga kini walaupun sudah dua dekad beliau tiada. Pak Sako seorang sasterawan dan juga wartawan, berperanan sebagai wakil masyarakat untuk menyampaikan keluhan dan rintih rakyat. Pada masa yang sama, penulisan Pak Sako sarat dengan idea yang bernas – yang menggerakkan intelek bangsa. Pak Sako juga dianggap sebagai penyalur maklumat tulen antara rakyat dengan kerajaan pada masa itu. Dua novelnya yang sudah diuji zaman, Putera Gunung Tahan dan Anak Mat Lela Gila penuh dengan pandangan dan cita-cita beliau terhadap pembebasan bangsa daripada penjajahan minda dan jati diri.”

Datuk Seri Haji Ahmad Husni turut bersetuju dengan mengatakan, “karya sastera mencerminkan suara seseorang penulis. Novel sastera agung mampu mempengaruhi pemikiran pembaca, dari segi pembaca melihat dirinya, masyarakatnya, malah dunia sekelilingnya.” Baginya, seorang penulis novel mampu berperanan sebagai “pemimpin pemikiran masyarakat”.

Lima orang penulis (termasuk Anwar Ridhwan) petang itu membuktikannya. Setiap karyanya menyumbangkan khazanah terbesar buat negara, suatu anugerah untuk pemikiran masyarakat. Dua orang penulis memenangi Hadiah Penghargaan (RM1,000), Ali Jusoh untuk Alor Miang dan Aminah Mokhtar untuk Ratap Rabitah. Mohd Khaidir Ahmad memenangi tempat ketiga (RM5,000) untuk novelnya, Khuluk, sementara Rahman Haji Yusof merangkul tempat kedua (RM15,000) untuk novelnya, Tak Seindah Impian. Buat Anwar Ridhwan dan mereka semuanya, tentunya nilai kemenangan mereka yang sebenar tidak boleh diukur dengan wang ringgit. Seperti yang diucapkan oleh Datuk Seri Haji Ahmad Husni, “tidak seimbang pembangunan bangsa jika ia hanya diukur dari segi materialisme semata-mata.”

Sememangnya, tidak ada maknanya masyarakat Malaysia mencapai kejayaan ekonomi jika mereka miskin budaya. Pembangunan budaya tinggi adalah pemangkin minda cendekiawan. Usaha inilah yang dapat menyokong penuh hasrat kerajaan membina negara yang berekonomi dan bertamadun tinggi. Hasil karya yang terpilih buat Hadiah Sako III inilah yang menjadi kayu ukur dan rujukan buat pemantapan budaya tinggi itu.

Justeru, tidak hairanlah alam turut meraikan kemenangan mereka pada petang itu.

Be Sociable, Share!