Pada 18 Disember 2011, hari terakhir Perhimpunan Penulis Muda Nasional III (PPMN III) menutup tirainya di Dewan Auditorium Akademi Kenegaraan Malaysia, Kuala Lumpur, semua orang terpegun. Muhammad Lutfi Ishak selaku Pengarah PPMN III mengambil rostum di depan lebih 150 peserta dan membaca resolusi yang baru sahaja disediakan pada pagi Ahad itu.

Muhammad Lutfi dan rakan-rakannya menyediakan harapan. Kini harapan itu menunggu untuk ditampung dan didengar. Berhenti sejenak dan “baca”lah isinya.

Kelapan-lapan resolusi milik himpunan penulis muda ini tampak gah, menyelami kecaknaan Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan segala dasar dan perlembagaan kebangsaan yang meliputinya. Sesungguhnya, aspirasi himpunan penulis muda ini masih mempercayai dasar-dasar Malaysia dan segala yang tereja di dalamnya yang dapat membuahkan hasil untuk penerusan citra sastera buat mereka. Kini, mampukah ia dilaksanakan sepenuhnya?

Berikut ialah teks Resolusi Perhimpunan Muda Nasional III:

Perhimpunan Penulis Muda Nasional III atau PPMN III yang telah diadakan pada 16 hingga 18 Disember 2011 bertempat di Akademi Kenegaraan, Kuala Lumpur mendapati aspek peribadi pengarang tidak dapat dipisahkan dengan tanggungjawab sosial. Sebuah negara yang maju dan stabil pada masa hadapan akan bergantung kepada generasi muda yang berakhlak mulia, berwawasan tinggi, positif menghadapi pelbagai cabaran masa hadapan serta mempunyai pandangan alam yang berteraskan Rukunegara dan Perlembagaan Persekutuan. Penulis muda pula, sebagai agen penting, harus memberikan peluang untuk melahirkan masyarakat yang bertamadun. Untuk melaksanakan hal tersebut, pelbagai usaha perlu dilakukan agar cita-cita kita untuk melahirkan sebuah negara yang seimbang pencapaian material dan kerohaniannya, PPMN kali ketiga dengan ini membuat ketetapan seperti berikut:

1. Memanfaatkan nilai-nilai sejagat/universal sebagai teras pemikiran dan pengucapan dalam pengkaryaan selaras dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Rukunegara.

2. Kerajaan Malaysia mesti mewartakan Dasar Kebudayaan Kebangsaan dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai satu manifestasi kerangka kebudayaan yang jelas.

3. Menerima nilai-nilai asing yang tidak bertentangan dengan Perlembagaan Negara dan Rukunegara bagi tujuan memperkukuh perpaduan dalam masyarakat.

4. Kementerian Pelajaran perlu memartabatkan sastera kebangsaan dalam sistem pendidikan negara dengan menekankan aspek kesusasteraan dan saintifik secara seimbang agar para pelajar mendapat pendedahan kepada kedua-dua disiplin tersebebut.

5. Dewan Bahasa dan Pustaka, Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negara dan agensi kerajaan yang terbabit mesti menyediakan geran penyelidikan, zamalah, penerbitan dan memberi peluang kepada penulis muda yang berbakat untuk menyertai aktiviti peringkat serantau dan antarabangsa bagi mengukuhkan intelektualiti dan kreativiti.

6. Dewan Bahasa dan Pustaka, Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negara dan agensi kerajaan yang berkaitan perlu mewujudkan program pertemuan penulis muda peringkat Asean untuk mempertemukan penulis muda serantau bagi merapatkan hubungan kebudayaan serantau.

7. Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi mesti memberikan biasiswa kepada penuntut cemerlang dan penulis lepasan sekolah untuk menuntut dalam bidang kesusasteraan sama ada di dalam negeri atau di luar negara.

8. Agensi-agensi kerajaan, kerajaan negeri Sabah dan Sarawak perlu memperbanyak peruntukan untuk menyemarakkan aktiviti kesusasteraan, kebudayaan, pemikiran dan penerbitan penulis untuk mengukuhkan hubungan yang sedia ada antara penulis di Sarawak, Sabah dan Semenanjung.

Be Sociable, Share!