Adakah penulis menulis kerana wang, nama atau perjuangan? Apa salahnya menulis kerana wang, jika wang mendorong pencetusan idea penulisan. Apa salahnya menulis kerana nama, jika hasil karyanya dapat menjadikannya terkenal. Apatah lagi jika menulis disamakan dengan perjuangan yang besar kerana penulis mengimpikan karya yang memberikan kesan kepada pemikiran dan budaya bangsanya.

Apa-apa pun jawapan yang diberikan kepada soalan di atas, perjalanan penulis akan indah jika dia berjaya memenangi sayembara penulisan. Memenangi sayembara meletakkan penulis di satu tingkat yang lebih tinggi daripada sebelumnya atau daripada penulis lain. Ia menjadi barometer pencapaian penulis. Ia juga memberikan nilai
kepada karya dan nama penulis.

Lebih indah lagi liku perjalanan yang dilalui penulis jika dia dinobatkan sebagai penerima anugerah sastera. Diiktiraf
dengan anugerah yang berprestij merupakan kemuncak pencapaian penulis, baik bagi penulis mapan mahupun penulis muda.

Pengiktirafan umpama oksigen yang menggerakkan degup jantung idea dan mencerna daya pemikiran penulis. Setelah memperoleh pengiktirafan, dia semakin berasa keperluan dan kebertanggungjawaban untuk menampilkan karya yang lebih berwibawa dan yang dapat membijaksanakan khalayak pembacanya.

Namun pengiktirafan tidak datang bergolek. Pengiktirafan diperoleh hasil usaha, penyerlahan bakat dan keterampilan berkarya. Kehebatan pemikiran menjadi asas penilaian karya sebelum seseorang itu diiktiraf. Jika wang dan nama menjadi mangkin untuk penulis berkarya, maka perlu diwujudkan lebih banyak sayembara penulisan dan pengiktirafan untuk penulis. Lebih-lebih lagi untuk penulis muda yang menjadi pelapis kepada penulis mapan dan sasterawan yang terbilang. Jika bidang sains mempunyai Anugerah Saintis Muda Negara, apa salahnya diwujudkan Anugerah Sasterawan Muda pula!

Padilah Haji Ali

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Sastera, Januari 2012

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks