OLEH: BAHA ZAIN

Apakah Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), satu-satunya persatuan penulis yang paling lama bernafas dan tekal bergiat di jantung ibu negara? Sejak tahun 1961 lagi, apabila gagasan penubuhannya dibahaskan di kampus Universiti Malaya, PENA seolah-olah tidak pernah berhenti digerakkan oleh bakat dan tokoh pemikir serta pengarang tanah air sehinggalah pada bulan lalu (16 Disember 2011) PENA berasa wajar meraikan usia emasnya yang ke-50.

PENA hampir sebaya dengan kemerdekaan negara (empat tahun lebih muda sahaja), tetapi dapat bertahan dan bergerak, walaupun kadang-kadang hebat, tetapi selalunya seadanya sahaja. Berkat iltizam pemimpin serta kumpulan penggeraknya, dan sokongan institusi luar dari waktu ke waktu, terutama Dewan Bahasa dan Pustaka, PENA dapat bergiat, tetapi yang lebih penting, dapat bersuara jelas dengan hati nurani yang ikhlas apabila dituntut keadaan. Kredibiliti inilah yang sangat berharga pada PENA selama ini, yang menarik untuk dihampiri oleh mana-mana pihak, malahan dengan bantuan kebendaan bagi menjayakan acaranya.

Pada hari ulang tahun yang bermakna, Institut Terjemahan Negara Malaysia telah memberikan sokongan agar PENA, Pertubuhan Bukan Kerajaan yang merumahkan bakat penting persuratan nasional, tidak terlepas peluang mengingati sejarahnya pada detik usianya yang bermakna. Bertepatan dengan setengah abad usianya itu juga “Sambutan 50 tahun PENA” turut dimuliakan oleh tokoh besar pemimpin Negara yang tidak kurang statusnya daripada seorang Perdana Menteri.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Sastera, Januari 2012

Be Sociable, Share!