OLEH: S.M. ZAKIR

Semalam ribut menyerbu dari bukit. Turun menggulung seperti tenggiling yang jatuh dari cenuram. Tanah lembah yang menempatkan kampung dan para penduduk seperti ternganga menunggu dirempuh tanpa dapat melakukan apa-apa. Para penduduk resah dan cemas. Mereka melihat gelap ribut bergelumang di bukit. Bukan itu sahaja, malah mereka mendengar bunyi ngaumannya, bau petakanya. Tiada apa-apa yang dapat mereka lakukan. Ketika itu terdengar suara melaung laung.

Ke masjid! Ke masjid! Mereka pun berpusu-pusu ke masjid yang terletak di tengah perkampungan itu. Di masjid telah ramai penduduk berkumpul. Imam, lebai dan ketua kampung telah juga telah berada di situ. Para penduduk diminta mengambil wuduk dan kemudian mengikut imam untuk bersolat sunat memohon perlindungan daripada Allah Yang Maha Kuasa. Mereka semua kemudian bersolat dengan penuh khusyuk. Bibir mereka bergetar. Hati mereka bergetar. Memohon perlindungan daripada Allah. Mereka bersujud. Lama dan berdoa. Setelah solat, mereka mengikut imam berdoa. Bibir mereka bergetar dengan zikir dan doa. Dinding masjid yang mengepung mereka seperti turut sama berdoa. Turut sama berzikir. Dan yang pastinya dinding itu mengepung seperti untuk melindungi mereka. Lama mereka begitu sehingga sebahagian daripada mereka sedar bahawa ribut telah hilang. Mereka berpusu-pusu keluar masjid, melihat bukit yang tadi menggulung hitam. Awan hitam yang melekat bersama ribut tadi telah hilang. Entah ke mana pergi bersama ribut yang entah ke mana juga perginya. Bukit kosong, tiada sebarang ribut lagi yang berhimpun di situ. Mereka bertakbir dan mengucap syukur atas kebesaran Allah yang masih sudi memberikan mereka perlindungan. Imam terjelepuk di sejadah, menangis mengenang keagungan dan kebesaran Allah.

Kiai Samsudin mengajarkan bahawa Allah itu wujud dengan sendirinya. Tidak ada permulaan dan tidak ada kesudahan. Anak-anak duduk bersila tekun mendengar apa yang dikatakan oleh Kiai Samsudin. Ada angin yang bersiur-siur di bumbung masjid. Bumbung yang melebar di bawah dan meruncing ke atas seperti perjalanan menuju ke arah hakikat ketuhanan yang abadi.

___

Cerpen ini dipetik daripada Dewan Sastera, Januari 2012

Be Sociable, Share!