Oleh Hafid Imam Iman

Kerana sekeping roti, penulis novel Maghribi ini mencatatkan namanya di persada seni sastera antarabangsa. Menjalar namanya ke serata rantau Arab dan meneroka benua Eropah. Kerana sekeping roti inilah, novelnya diharamkan penerbitannya di Maghribi, Mesir dan negara Arab lain. Setelah 10 tahun berlalu, maka barulah novel ini diterbitkan. Kritikan bertalu-talu menghentaknya, tetapi dalam masa yang sama pujian mencurah-curah datang. Apakah sebenarnya yang ditulis oleh Muhamad Shukri dalam novelnya Kerana sekeping Roti?

Novel Kerana Sekeping Roti merupakan riwayat kehidupan yang menceritakan sudut gelap masyarakat dengan bahasanya yang sebenar. Ketika membaca novel ini, pembaca dapat merasa seolah-olah penulis yang menceritakannya tidak tahu bahasa, banyak menggunakan loghat asing yang menjadi penuturan hariannya. Tiada apa-apa yang ingin disembunyikan oleh penulis kepada pembacanya, seolah-olah dia hanya mahu meluahkan perasaan dengan bahasa yang paling mudah tanpa menggunakan ketinggian bahasa tulisan. Penulis berkongsi segala pengalaman menjijikkan dan mengaibkan sesiapa yang melihat atau membacanya.

Oleh yang demikian, novel ini dianggap memalukan anak bangsanya, lebih-lebih lagi bangsa Arab yang banyak perkara dikira sebagai “aib” yang perlu ditutup dan tidak didedahkan kepada awam. Bangsa Arab mementingkan maruah. Maruah perlu dibela hingga ke titisan darah terakhir. Oleh sebab itu, semasa zaman jahiliah mereka rela membunuh anak perempuan sendiri daripada terhina disebabkan anak itu. Maruah bangsa dan keluarga perlu dijaga supaya tidak dipandang hina oleh bangsa lain.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Sastera September 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

Be Sociable, Share!