Oleh: Muhammad Haji Salleh (Sasterawan Negara)

Sunthorn Phu diiktiraf sebagai genius puisi tradisional Thailand dan pada umumnya puisi beliau menggunakan bentuk syair yang rumit, berirama dalam yang juga berdengung dengan jaringan bunyi serta imejan. Bentuk ini dikenali sebagai nirat. Selepas tamat pengajian di sebuah kuil, beliau mendapat pekerjaan di istana. Tetapi pada usia muda, penyair ini ghairah dengan segala jalur perasaan tidak dapat mengawal dirinya dan telah jatuh cinta dengan seorang dayang diraja, yang bernama Chan. Mereka dipenjarakan kerana pada kurun ke-19 (awal), lelaki yang bercinta dengan wanita istana merupakan kesalahan besar. Namun, penderitaan penjaranya tidak begitu lama, dan selepas itu beliau cepat dibebaskan.

Pada tahun 1806, Phu meninggalkan ibu kota, istana dan juga kekasihnya. Kononnya, beliau mahu mencari ayahnya yang tidak pernah ditemuinya sejak kelahirannya,

To have a mate and not stay to enjoy her,

Must leave her far from my sight,

Whoever in the world so sad,

As I a bee, seeking solace.

Phu mahu mencari ayahnya dan mencari ketenteraman daripada pengalamannya berada di penjara dan mungkin juga disebabkan rasa malunya kepada masyarakat sekeliling. Demikianlah Phu, dengan tiga orang teman dan seorang pemandu (yang selalu mabuk) berperahu, bergalah dan berjalan menuju ke kuil tempat ayahnya berada. Mereka menghilir Sungai Chao Praya yang lebar. Dari sana mereka naik ke darat dan berjalan lebih 70 km ke arah Sungai Bang Pakong. Sungai ini pula mengalir ke pantai Teluk Siam. Maka, mereka pun menghilir sungai ini, hinggalah sampai di laut. Dari sana pengangkutan yang paling sesuai ialah perahu. Sekitar 100 km, mereka menyusur pantai hinggalah tiba di Tung Pattaya. Dari kota besar ini mereka kembali ke darat dan berjalan kaki ke arah Muang Klaeng yang cukup jauh jaraknya dari Tung Pattaya. Mereka mendaki bukit, menuruni bukit, masuk hutan keluar hutan, dihurung nyamuk dan lalat, dihisap darahnya oleh pacat dan ditakuti binatang buas serta buaya. Mereka berjalan puluhan kilometer.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Sastera, Januari 2012

Be Sociable, Share!