Oleh: Shahnon Ahmad (Sasterawan Negara)

Sudah sekian banyak kita menerokai aspek daya cipta atau kreativiti ini, khususnya dalam bidang daya cipta karya sastera untuk membentuk diri kita menjadi sasterawan yang bermakna. Yang lebih khusus lagi bidang karang mengarang karya kreatif dalam pelbagai genre. Dalam erti kata lain, kita cuba memperlihatkan ruang untuk kita berdaya cipta, yang senantiasa terbuka untuk kita terokainya supaya menjadi sasterawan yang signifikan.

Banyak liku yang telah kita rentasi selama bertahun-tahun ini. Kini kita memasuki era baharu pula, iaitu era tahun 2012. Oleh itu, dengan langkahan masuk bulan Januari 2012 ini elok benar kalau kita kembali bermuhasabah iaitu menilai diri kita untuk menentukan di maqam manakah kita berada, sebelum kita meneruskan perjalanan kreativiti kita yang bersisa, yang masih jauh terbentang di hadapan kita dengan segala cabaran dan nikmat.

Memang banyak telah kita pelajari tetapi kita masih terasa kerdil dan terpinggir berbanding dengan sasterawan besar dunia. Terasa pada kita bahawa kekerdilan kita itu mencakupi pelbagai aspek; baik pemikiran yang signifikan, yang hendak kita paparkan secara susastera, baik olahan dan selok-belok tekniknya dengan segala kecanggihan yang terdaya.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Sastera, Januari 2012

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks