Oleh: Zainol Idris

Dia membuka matanya bersama-sama matahari yang sedang terbangun di ufuk timur. Kelompok awan kelabu yang berat bergayutan di sana sini menjadikan sinarnya tidak segarang biasa; hening dan malap. Sisa-sisa malam di penghujung masih menyelubungi lembah itu. Bukit batu kapur yang melatarinya bagai terpegun dalam bayang berbalam-balam. Seimbas nampak bagai busut-busut gergasi penunggu lembah hijau itu.

Masuk hari kesembilan, beringin tua itu menjadi tempat dia bermalam. Walaupun hatinya kurang senang bernaung di bawah rimbun pohonan parasit itu, segala-galanya terpaksa diabaikan. Semuanya tidak dipedulikannya lagi; yang utama dia

wajib berada dekat dengan Indainya.

Apai bertenggek sambil menyandarkan dirinya ke dahan jelutung separuh mati. Dahannya yang terkeleweh mulai mereput. Terbuai-buai dan amat mudah luruh ke tanah apabila dicantas angin. Apai tahu, jelutung itu sudah pasti dahulunya perumah yang ditumpangi beringin. Dari tahun ke tahun, sang parasit itu membesar dan semakin berkuasa. Akhirnya, akarnya yang liar membelit-belit itu mencengkam lalu mencekik perumah yang pemurah itu sehingga menemui ajalnya. ‘Kezaliman maha dahsyat’, gerutu Apai dalam diam.

Beberapa ekor merbah kapur mulai tiba. Sekawan gagak yang entah dari mana juga bersorak-sorak dari julai pokok jejawi yang berjiran dengan beringin. ‘Beringin dengan jejawi apa bezanya, masing-masing pembelit dan penghisap darah terkutuk,’ getus hati Apai. ‘Eloklah mereka berjiran, satu seh!’ bisiknya lagi. Apai yakin, suatu hari nanti kedua-duanya akan menggasak sesama sendiri.

Pohon jejawi yang merimbun seakan-akan sekawan gajah itu berbuah lebat sekali. Merah kebiru-biruan bagai mata anak tiung. Montel dan ranum pula. Namun begitu, semua itu tidak menarik naluri Apai. Fikirannya kusut. Dadanya sesak dan lemas. Sesesak dan selemas jelutung yang sedang nazak dalam dakapan maut si tua beringin terkutuk.

Sudah dua hari Apai tidak menjamah apa-apa. Walaupun untuk mendapatkan sedikit rezeki bukannya terlalu sukar. Dia boleh sahaja melompat ke pohon jejawi di sebelah. Memetik sebiji dua buahnya, itu sudah cukup untuk mengalas perutnya. Tetapi Apai tidak berselera. Mulutnya pahit. Dunianya seakan akan kosong. Alam fana sekeliling seperti tiada wujud. Saujana dan bolong. Yang Apai nampak cuma satu “Indai”.

‘Indai, bersabarlah sayang,’ desis Apai sendirian sambil menarik nafas dalam-dalam. Udara yang masuk terasa berat dan tersekat-sekat.

___

Cerpen ini dipetik daripada Dewan Sastera, Januari 2012

Be Sociable, Share!