Oleh: Roslan Jomel

Dia menekan loceng bas. Sebaik-baik sahaja turun, dia mengeluarkan semula selembar kertas dari dompet yang sudah beberapa kali diperiksa semasa dalam perjalanan tadi. Perjalanan dirasakan sungguh panjang dan berliku-liku melintasi pemandangan yang belum pernah dilihatnya. Dia duduk di bangku pondok bas yang belum dipasang bumbung. Memerhati bas menderu laju meninggalkannya sebelum membelok di selekoh dilindungi barisan pokok. Dia berharap urusan hari ini tidak akan mengambil terlalu banyak masa.

“Ini seperti zon khusus mengepam duit,” katanya, sebaik-baik sahaja dia melihat deretan premis perniagaan beberapa meter dari tempatnya mula melangkah. Tempat parkir kenderaan luas masih kosong. Langit begitu cerah dan bayang-bayang tubuhnya mengekori dari tepi. Bunyi tapak kasut sukan jenama Adidas miliknya berkeriuk-keriuk menekan batu kerikil tepi jalan. Dalam beg sandang termuat sebuah fail biodatanya dan beberapa buah buku dan majalah. Semalam dia tidur lewat, asyik menyediakan segala butiran dan maklumat peribadi yang sudah pun ditaip di atas kertas yang biasa digunakan untuk mencetak draf awal karya fiksyen.

Jarang-jarang dia berpenampilan sebegini formal. Seolah-olah menghadiri urusan rasmi. Berpakaian kemas untuk menunjukkan keseriusan. Kemeja petak baharu dibeli disembur pewangi. Seluar khaki berwarna coklat diseterika dan rambut diminyak bersisir rapi. Mujur sahaja dia tidak mengenakan tali leher. Dia tidak pernah memiliki kasut hitam yang biasa dipakai oleh pekerja di pejabat.

Dia berjalan dengan perlahan dan mendongak ke setiap papan tanda atau apa-apa sahaja penunjuk arah membawa ke lokasi dituju. Kesemuanya ditulis dalam bahasa bercampur baur. ‘Asing sungguh tempat ini,’ fikirnya. Dia melintasi pintu butik pakaian, spa, urutan batin, kelas dandanan rambut, kelas membuat kek dan roti, kafe siber, kedai barangan elektronik, restoran makanan barat dan timur, pejabat guaman, ejen pelakon dan model, ejen hartanah dan rumah tumpangan serta segala bentuk perniagaan. Dia memeriksa sekali lagi alamat tempat ditujui, barangkali terselindung dan tidak terlihat.

___

Cerpen ini dipetik daripada Dewan Sastera, Januari 2012

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks