Oleh Muhammad Haji Salleh

Antara yang terlangka di pulau-pulau Polinesia Selatan dan Melanesia ialah buku. Kedai buku jarang-jarang ada, dan kalau terdapat pun terpaksa berkongsi ruang dengan kedai-kedai keperluan pejabat, dan kebanyakan buku yang dijual itu ialah buku sekolah. Di negara yang lebih maju ekonomi komersialnya, seperti di Fiji dan Tahiti, buku-buku untuk pelancong dijual di kedai buku. Harganya pula sangat mahal, kerana semuanya harus diimport dari jauh.

Tambahan pula budaya lisan masih sangat dominan dan sasteranya masih hidup dalam ingatan dan suara penutur. Semua faktor ini membuatkan buku sangat langka. Yang sering mudah didapati ialah Injil, yang diberikan percuma oleh mubaligh dan inilah nampaknya yang menjadi bacaan utama di pulau-pulau.

Oleh itu, apabila saya menemuikan sebuah buku tentang legenda dan mitos Fiji, saya pejam mata dan terus bayar harganya walaupun dengan harga yang tinggi. Apa boleh buat?

Buku ini ialah Myths and Legends of Fiji and Rotuma, dituliskan kembali dalam bahasa Inggeris untuk bacaan umum dan juga sekolah. Pengarangnya ialah A. W. Reed dan Inez Hames.

Reed ialah penulis dan Hames menjadi pengumpul – cerita-cerita ini dibawa kepada beliau, di sekolahnya.

Harga buku ini dijual dalam nilai mata wang dolar, iaitu $24.50. Kualitinya hanya daripada kertas akhbar dan mengandungi 127 halaman. Buku ini dibahagikan kepada cerita legenda “Degei dan Alam Roh”, “Legenda Dewa-dewa”, “Ratu Mai-Buu”, “Dewa Ular”, “Dakuwaqa”, “Dewa Ikan Yu”, “Pelayaran antara Pulau”, “Legenda Gergasi”, “Makhluk Aneh” dan “Ghaib”. Seterusnya, setiap kategori cerita ular, ikan, burung, bunga, pohon dan juga akhirnya cerita romansa.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Sastera September 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks