Judul : Melayu Cape di Afrika Selatan
Penulis : Wan Hashim & Hanapi Dollah
Harga : RM60
Pengulas : Julia Juis

Bangsa Melayu bukan wujud dalam lingkungan geografi Nusantara semata-mata. Bangsa Melayu Cape di Afrika Selatan wujud apabila berlaku penghijrahan pada awal kurun ke-17 hingga kurun ke-18. Penghijrahan tersebut melibatkan ulama dan buangan politik. Golongan ini memberikan pengaruh dan sumbangan besar terhadap perkembangan bangsa Melayu dan Islam di Afrika Selatan.

Buku setebal 257 halaman ini lengkap dengan foto berwarna dengan mengandungi enam bab. Dalam usaha mendekatkan khalayak dengan sejarah bangsa Melayu, penulis dan pengkaji telah memperkenalkan sejarah awal kedatangan bangsa Melayu di Afrika Selatan menerusi bab satu, Sejarah Awal. Syeikh Yusuf dari Makasar yang terkenal sebagai golongan bangsawan ialah antara buangan politik terawal ke Afrika Selatan ketika kurun ke-16. Ketibaan Syeikh Yusuf di Kaap (Cape) telah memberikan peluang untuk beliau membina komuniti Islam pertama di Afrika Selatan. Menerusi bab dua, Penghijrahan dan Perkembangan Islam mengetengahkan sejarah penghijrahan buangan politik ke Tanjung Harapan. Antara buangan politik tersebut ialah Syeikh Yusuf, Loring Passir, Dipa Nagara dan Raja Ahmad (Ternate).

Perbincangan mengenai pendudukan dan pendidikan di Bo-Kaap muncul dalam bab tiga, Malay Quarters Komuniti Melayu di Bo-Kaap. Berdasarkan kajian, panggilan Bo-Kaap merujuk kawasan luas yang lazimnya mencakupi keseluruhan komuniti termasuklah penduduk kulit berwarna yang lain dan India Muslim.

Isu mengenai keramat dan orang Melayu di Cape Town dibincangkan dalam bab empat, Makam Keramat. Dalam bab ini, makam keramat dikenal pasti sebagai warisan sejarah orang Melayu di Cape Town. Walau bagaimanapun, amalan makam keramat tidak lagi ketara pada hari ini. Perihal jati diri Islam yang dibincangkan dalam Bab lima, Budaya dan Jati Diri mendapati wujud konflik yang membantut perkembangannya. Di Cape Town, komuniti Islam yang baharu tidak lagi menggunakan bahasa Melayu atau Afrikans. Golongan ini memilih bahasa Urdu sebagai bahasa asal mereka. Peristiwa perselisihan faham  di antara Imam Talabudien dengan jemaah di situ telah memunculkan etnik baharu dalam komuniti Islam di Cape Town iaitu India. Kemunculan etnik baharu ini menimbulkan isu mengenai kesinoniman Islam dengan Melayu.

Bab enam, Mobiliti Sosial dan Tokoh Melayu Cemerlang memperkenalkan beberapa tokoh ulama dan pejuang dalam perkembangan sejarah bangsa Melayu di Cape Town. Selain Syeikh Yusuf Makasar, Imam Abdullah Ibnu Kadi Abdus Salaam merupakan penyambung gagasan Syeikh Yusuf Makasar dalam menyebarkan Islam di Afrika. Setelah menjalani hukuman penjara di Afrika Selatan, Imam Abdullah dibenarkan tinggal di tanah besar di sekitar bandar Cape Town sebagai rakyat biasa. Peluang ini digunakan oleh Imam Abdullah sebagai landasan untuk menyebarkan dakwah Islam. Antara tokoh dan ulama lain yang dibincangkan dalam bab ini ialah Imam Haji Abdullah Haroun, Achmat Affendi dan Dr. Abdullah Abdurrahman.

Kelahiran buku ilmiah Melayu Cape di Afrika Selatan boleh dijadikan rujukan sejarah bangsa Melayu. Perbincangan mendalam mengenai Melayu di Cape Town membuka ruang fi kir pembaca untuk mengenal dengan lebih mendalam susur galur bangsa Melayu yang terdapat di Afrika dan di seluruh dunia. Buku ini bermanfaat untuk khalayak pembaca yang berusaha mengenal jati diri bangsanya.

___

Ulasan buku ini dipetik daripada Dewan Sastera Februari 2012.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks