OLEH: AZMAH NORDIN

Kemunculan cahaya dari kenderaan yang dibelasah teruk kiri kanan oleh hujan lebat, di selekoh jalan yang menghala ke Motel Beaufort, meresahkan amat. Ketajaman daya khayalnya yang terlepas pada kabut hujan lebat yang jatuh mengguyur gelap malam, serta-merta berantakan dan kebebasannya menjadi cekikan yang melemaskan. Itu jelas. Bagaimana tidak?

Kemunculan kenderaan yang mendadak di sebalik rimbunan pepohon paya bakau, di bawah temaram cahaya lampu jalanan, tidak jauh dari kawasan motel papan dua tingkat merangkap kedai makan itu, bagaikan jelmaan roh yang menggerunkan. Meremang bulu tengkuknya!

‘Aduh! Kenapa hanya pada hari ini saja, bertali arus pula motel itu disinggahi orang, kenapa tidak sebelumnya?’ soal hatinya, dipagut bimbang. Hujan yang jatuh mengguyur sejak senja tadi, terasa bagai turut menempiaskan sekujur tubuhnya kini.

Tatkala dia terkebil-kebil memerhati kenderaan yang terenjut-enjut melewati lopak air hujan di sana sini, di sepanjang jalan menuju motel itu, sekonyong-konyong, terbayang bagaimana semangatnya sendiri sering dibelasah dari seluruh sudut, suatu ketika dahulu, dipaksa menjual bahagian sahamnya yang 49 peratus di

Hotel Menara Impian, untuk pecahan nilai yang jauh lebih rendah daripada harga sebenar. Sementara dalam kemenangan, bapa saudara merangkap abang kepada arwah bapanya yang mempunyai lingkaran luas dalam pengaruh politik tempatan itu terus tertawa berdegar-degar, mencengkamkan pengaruhnya. Tertawa bersama-sama ketiga-tiga anak lelakinya, yang juga saudara sepupu Salma sendiri.

Salma sedar. Situasi lingkungan tidak sedikit pun mendukung. Jelasnya, kalau orang mahu meruntuhranapkan sebuah rumah, mula-mula sekali dia mungkin mencabut tiang serinya, satu per satu, sebelum yang lain. Terbukti, itulah teknik yang digunakan oleh bapa saudaranya yang mahu meruntuhranapkan seluruh semangatnya, secara serentak, memotong gaji dan dividennya, merampas isi kandungan komputer miliknya, memalangkuncikan pejabatnya (tidak ubah seperti yang dialami Awang semasa menjadi chef di sebuah restoran elit di dalam hotel lima bintang di bandar raya Kota Kinabalu, beberapa bulan terdahulu itu) – merenggut kerusinya dalam lembaga pengarah,sekali gus membuka ruang bagi segelintir akhbar melontarkan nama Salma dalam kehinaan yang tiada taranya!

Pada detik seperti itu, tangisnya tidak hanya menyirat emosi kepedihan jiwanya yang mendalam, tetapi juga untuk kekecewaan Awang yang bagaikan tidak terungkapkan. Kekecewaan itu tiba-tiba sahaja mengembalikan sifat Awang yang tergagap-gagap kekhuatiran suatu ketika dahulu, sekali gus membuatkan suaminya itu kian membungkam mulut, menggelut badai dalam diri sendiri. Seolah-olah segala yang melanda dirinya, hanya mengingatkan Awang kembali pada kisah getir silamnya, seperti yang kerap diulang ceritanya kepada Salma, sebelum ini. Sejumlah masalah yang menyelimuti masa remaja Awang, di rumah usang yang terpencil, di lereng bukit, di daerah Keningau, tempat yang pernah menyaksikan suaminya itu terlonta-lonta, waktu kecilnya yang penuh azab dan mengerikan dalam liku-liku perjuangan hidupnya.

Matanya meratap pilu, memerhati layang-layang rumah yang tenang menujah angkasa dalam kesuraman senja, apabila bapanya yang pemabuk dan kemaruk nombor ekor, bertukar menjadi pendera isteri dan anak tunggal sendiri. Lalu ibu Awang membawa hati dan jasadnya yang tercedera parah lari entah ke pelosok dunia mana, sekali gus meninggalkannya untuk dimangsai bapa, terus-terusan.

Setiap kali menceritanya kembali, Awang akhirnya pasti tersendu keharuan dan kadangkala, tiba-tiba, Awang yang terus-terusan digelut gelojak dalam diri, cepat-cepat menggenggam tinju. Kemudian, renungan tajamnya menembusi dinding rumah papan milik keluarga Salma seolah-olah cuba menikmati pemandangan di sawah ladang yang sisi-menyisi dengan lebuh raya. Dapat Salma bayangkan burung helang mengitari reban ayam ternakan ibunya, di daerah pedalaman Keningau dahulu. Pasti mata fikir suaminya menyaksikan kembali anak-anak ayam yang baharu tumbuh bulu, tiba-tiba ditukik dan disambar oleh helang itu dengan paruhnya yang tajam, setajam dan sesinis sindiran bapa, semasa meluahkan kemarahan dan kekecewaan ke batang jasadnya dahulu.

Salma sedar. Kenangan tentang anak-anak ayam yang dimangsai itu terus menukik di benak suaminya, biarpun setelah meningkat dewasa. Biarpun ketika berusia awal belasan tahun, khabarnya, suaminya mula membentuk diri sebagai pembantu tukang masak yang tugasnya daripada menyiang ikan kepada mengupas kulit bawang, mencuci timbunan sisa-sisa makanan pada pinggan mangkuk yang bertali arus datang ke dapur restoran, di samping periuk belanga yang hitam melegam. Selepas itu, perlahan-lahan (tersangat perlahan) meningkat ke bahagian pastri, kemudian ke bahagian memotong, di dapur sebuah hotel bertaraf sederhana, sekali gus mengulit impian untuk membuka restoran di hotel terkemuka. Kemudian, dia baru sedar, tidak semena-mena impiannya, jika melalui pintu dapur. Kesedaran lalu mendorongnya bekerja sambil mengikut kelas malam dan langsung berjaya memperoleh diploma dalam jurusan Pengurusan Perniagaan, dan jurusan Perhotelan dan Kursus Chef. Di sinilah tempatnya, Salma yang juga mengambil kursus Perniagaan dan Pengurusan hotel ketika itu, dipertemukan jodoh dengan Awang.

___

Cerpen ini dipetik daripada Dewan Sastera Februari 2012.

Be Sociable, Share!