OLEH: A. RAHMAN C.M.

“Tadi kamu ingat apa? Masa kamu bedal Azmi, tak ingat Allah ke?” Bedul menyentuh dahinya. Dia

tidak tahu kali ke berapa dia menyentuh dahinya itu. Ada rasa benjol. Terasa juga ngilunya. Dia memandang kosong pada wajah Pak Long yang berada di hadapannya. Dia nampak wajah kering Pak Long. Masih jelas raut wajah marah Pak Long di mata batinnya. Dia tidak menyangka Pak Long akan marah begitu.

Dia melayah kemudian jatuh ke tanah setelah Pak Long menumbuk dahinya.

“Aku dah lama bersabar.” Dia ingat matanya putih pada wajah Pak Long.

“Ibu kamu, bini kamu dah banyak kali mengadu tentang perangai kamu. Rimas aku. Menyusahkan!”

Dia kaku dan kelu. Dalam duduk dia hanya menelan kata-kata Pak Long. Dia sedar, kalau dia berdiri, tendangan Pak Long pasti mengena pada badannya.

Malam sudah larut. Suasana malam sepi di mana-mana. Bedul menilai patah kata Pak Long. Bedul menilai wajah Pak Long. Kata-kata Pak Long pedas, hangat, pahit dan bisa tetapi ada benarnya. Wajah Pak Long garang, bengkeng, bengis, marah tetapi dia tidak nampak ada rasa kebencian pada wajah itu.

“Bedul, kamu kena ingat, Pak Long tu ganti ayah kamu. Pak Longlah tempat kita berpaut selepas ayah kamu mati. Kamu tak ingat ayah kamu. Ketika ayah kamu mati, umur kamu baru setahun.” Kata-kata ibu menyedarkannya bahawa kehidupannya selama ini dibiayai oleh Pak Long, iaitu ayah saudaranya, abang kepada ibunya. Dia ingat memang Pak Long sayangkan dirinya. Pak Long kasihkan dirinya. Sebab itu Pak Long mengambil tugas ayahnya. Ibunya tidak pernah berkahwin selepas kematian ayahnya.

Salakan anjing sayup-sayup kedengaran. Di luar gelita merata-rata. Bedul masih berdiri di muka jendela yang terbuka. Peristiwa petang tadi yang membawa penumbuk Pak Long ke dahinya datang satu demi satu.

Dia baru pulang dari pejabat. Kepalanya masih bengang dengan kata-kata teman sekerja yang memerli, menyindir dan menempelaknya. Tiba-tiba Azmi berkelahi dengan Azmah, anak perempuannya di atas serambi rumah. Tanpa usul periksa, dia terus menampar Azmi. Azmi lari turun ke tanah. Dia mengejar Azmi dengan manggar kelapa. Dia membedal belakang tubuh Azmi entah berapa kali sehingga Azmi terjatuh di hadapan Pak Long. Kebetulan ketika itu Pak Long lalu di hadapan rumahnya kerana hendak ke masjid.

Azmi memeluk lutut Pak Long. Pak Long menghantar Azmi ke rumah. Apabila Pak Long pasti Azmi tidak nampak mereka, penumbuk Pak Long singgah di dahinya. Dia melayah ke belakang lalu terjelapak.

“Allah!” Dia ingat, dia menyebut kalimah Allah SWT ketika itu.

“Tadi kamu ingat apa?” Dia nampak wajah Pak Long menyinga padanya.

“Masa kamu bedal Azmi, tak ingat Allah?” Bedul jadi batu.

“Kenapa kamu bedal Azmi?” Bedul jadi kayu.

“Iblis, syaitan, ego kamu sebagai ayah, begitu?” Bedul terus kaku.

“Siapa ajar kamu bedal anak dengan manggar kelapa?” Pertanyaan Pak Long tidak dijawabnya. Dia hanya mampu mendongak pada wajah Pak Long. Lama wajah Pak Long pada mata batinnya.

Salakan anjing sayup-sayup kedengaran. Hawa malam kian dingin. Bayu malam yang dingin membelai dadanya yang telanjang di tingkap bilik tidurnya yang terbuka.

Bedul tiba-tiba teringatkan Azmi anak keduanya. Ingat sungguh-sungguh. Dia menutup tingkap, lalu dia ke bilik anaknya. Dalam cahaya suram mentol 15V, dia duduk di tepi katil Azmi lalu menyelak selimut yang menyelimuti badan Azmi. Kebetulan Azmi tidur mengiring. Dia nampak jalur bekas manggar kelapa pada kulit belakang anaknya itu. Dia terkedu di situ. Bedul kembali kepada dirinya. Dia tidak pernah dipukul begitu oleh sesiapa pun. Tidak! Pak Long hanya membulatkan matanya kalau marah terhadap kelakuannya yang nakal. Tangan Pak Long tidak pernah singgah pada kulit tubuhnya. Hanya tadi, penumbuk sulung Pak Long singgah di dahinya. Penumbuk itu amat terasa kesannya. Hingga saat ini matanya masih kejang. Wajah Pak Long bertakhta di mata batinnya. Perlahan-lahan Bedul merendahkan kepalanya lalu mencium pipi Azmi. Kemudian cepat dia kembali ke biliknya.

Kejadian siang tadi memang salahnya. Dia bertindak mengikut emosinya yang terganggu di pejabat. Kerjanya di pejabat tidak selesai, lalu dia diperli. “Orang berjanggut ni sepatutnya amanah. Kalau tak amanah lebih baik cukur saja janggut tu, buat malu Nabi saja.” Bedul hampir bergaduh di pejabat tadi.

Dia selalu disindir kerana mengikut ajaran yang kebenarannya diragukan. Dia terlibat mengikut jemaah Imam Derauf di Bukit Merah. Baginya ajaran Imam Derauf baik. Imam Derauf mengajar cara-cara beramal. Mengajar cara mendekatkan diri kepada Allah. Mengajar cara berzikir serta cara bermunajat kepada Allah dan Rasul-

Nya. Dia juga terlibat dengan kumpulan yang mengikuti ceramah hujung minggu di surau Lebai Kulub.

“Ini cara guru kamu ajar didik anak?” Bedul jadi batu.

“Pagi Jumaat nanti jumpa Pak Long.” Dia ingat kata-kata akhir Pak Long tadi. Sebelum sempat dia berdiri, Pak Long berlalu ke masjid.

___

Cerpen ini dipetik daripada Dewan Sastera Februari 2012.

Be Sociable, Share!