Oleh Jasni Matlani

Perjalanan yang panjang ke Sydney membawa Aku sampai di stesen Moss Vale dan adik perempuanku merungut kecil kerana lapar. Katanya, dia hendak mencari makanan atau minuman di sebuah gerabak yang menjual makanan di dalam kereta api itu, tetapi Aku memberitahunya bahawa tidak lama lagi kami akan sampai di stesen Sydney Central. Hanya dua stesen lagi yang perlu dilalui, stesen Campbelltown dan stesen Strathfield. Kedua-dua stesen itu berdekatan dengan kota metropolitan Sydney. Aku melihat sebuah masjid yang agak besar di tepi laluan kereta api, tetapi Aku tidak mengetahui namanya. Aku juga melihat beberapa gereja di kawasan perumahan dan perbandaran yang pesat itu.

Hari menjelang senja, bila kali terakhir Aku melihat bayangan Kota Sydney yang luas dan mempunyai kos sara hidup yang tinggi. Aku keletihan, tetapi kepenatan itu seolah-olah hilang apabila kereta api betul-betul berhenti di stesen terakhir, stesen Sydney Central yang fungsinya tidak jauh berbeza dengan stesen KL Central, di Kuala Lumpur. Bezanya stesen KL Central memiliki reka bentuk moden, tetapi stesen Sydney Central, bangunan antik yang dibina pada zaman kolonial, kelihatan agak tua dan pada jangkaan awal Aku, bangunan ini sudah berusia ratusan tahun.

Setelah sampai di suatu sudut, Aku melihat ada catatan menyebutkan stesen itu dibina oleh John Whitton pada tahun 1856 yang dianggap kebanyakan rakyat Australia sebagai bapa pembangunan Railway New South Wales. Bangunan itu masih kukuh dan dijaga dengan baik, seperti menunjukkan keutuhan, kehebatan dan prestijnya berada di tengah kepesatan pembangunan dan kemajuan kota metropolitan Sydney.

Sebaik-baik sahaja turun dari kereta api, kami terus mencari teksi ke hotel penginapan yang terdekat. Aku bertanya kepada seorang gadis remaja Asia yang duduk keseorangan di bangku sama ada dia warganegara Australia atau pelancong asing. Aku menjangkakan umurnya dalam lingkungan awal 20-an. Dia cantik, berkulit putih Asia, rambut hitam halus yang selalu mengganggu wajahnya apabila ditiup angin. Dia tersenyum sambil membetulkan rambutnya.

“Maaf, saya warganegara New Zealand,” jelasnya berbasa basi. “Tetapi saya dah biasa dan dah lama tinggal di Sydney. Ada apa-apa yang saya boleh bantu?” soalnya bersulam dengan senyuman. Aku menjelaskan bahawa kami perlu mencari hotel penginapan yang terdekat. Gadis itu memberitahu supaya kami turun ke tingkat bawah dan terus menyeberang jalan Pitt Street, melewati bangunan Sydney Central YHA sebelum menghala jalan utama George Street. Katanya, ada banyak hotel tiga bintang yang sederhana pada kadar munasabah di sekeliling kawasan Sydney Central.

Jika hendak pergi jauh sedikit kami boleh menaiki teksi atau bas dan mencari hotel lima bintang di hujung jalan Pitt Street atau berdekatan Opera House. Akhirnya kami memilih untuk tinggal di Great Southern Hotel yang juga kelihatan antik. Bangunan itu dibina kira-kira 100 tahun yang lalu, tetapi masih menarik, seolah-olah Hotel Jeselton di Jalan Gaya bandar raya Kota Kinabalu, walaupun saiznya dua kali ganda lebih besar daripada Hotel Jeselton itu.

Kami menolak dan membawa barang yang agak banyak ke hotel berkenaan. Sewaktu tiba di hotel, kami disambut pelayan hotel warga Indonesia yang tidak terlalu peramah dan lebih selesa berbahasa Inggeris daripada berbahasa Melayu Indonesia. Dia memberitahu ada sebuah bilik yang masih kosong, tetapi kadarnya agak mahal, lebih kurang AD129 untuk satu malam, bersamaan RM390. Kami tinggal di bilik hotel itu untuk tempoh dua hari dua malam sahaja, kerana orang lain sudah pun menempah bilik berkenaan pada hari yang berikutnya.

“Saya tak boleh tempah hingga hujung minggu?” Aku mencari kepastian.

“Tak boleh, pak. Orang lain dah tempah lebih awal. Maaf, pak.” Dia menegaskan.

“Kalau begitu baiklah. Tempah untuk dua malam,” balasku.

“Ya dua malam, pak,” katanya serba salah. Dia memberikan resit pembayaran dan kunci bilik sebelum kami beredar. Pergi ke lif dan naik ke tingkat lapan, mencari nombor bilik seperti yang tertera pada kunci yang diberikan.

Kami berehat seketika di dalam bilik, kemudian keluar mencari makanan halal di restoran berdekatan. Pelayan Indonesia yang bernama Tunggul itu memberitahu ada banyak restoran halal di kawasan jalan utama George Street. Ada restoran Malaysia, namanya Kesturi Kafe yang dibuka dari jam 12.00 tengah hari hingga jam 9.00 malam setiap hari, dari hari Isnin hingga Jumaat, dibuka dari jam 5.00 petang hingga jam 9.00 malam pada hari Sabtu dan tutup dan pada hari ahad serta hari cuti umum. Ada restoran Indonesia yang menjual sup buntut, restoran Cina dan restoran Vietnam yang halal.

“Tidak ada masalah, pak,” kata pelayan hotel warga Indonesia itu lagi. “Ada KFC dan McDonald’s yang halal dan terlalu banyak restoran Arab Turki atau Lubnan yang menjual kebab di Sydney. Boleh pilih yang mana satu,” sambungnya.

“Baik,” kataku. “Terima kasih.”

Bertemu seseorang yang tahu berbahasa Melayu walaupun dari Indonesia di kota besar Sydney memang menggembirakan. Tetapi tentulah hajat yang diletakkan di senarai paling atas semasa kunjungan di kota besar Sydney ini adalah hendak bertemu Khaled. Walaupun tidak ada sebarang perhubungan yang dapat dilakukan melalui e-mel, Facebook atau surat, apatah lagi telefon sebelum berlepas menaiki pesawat MAS di tanah air, Aku tetap berhasrat hendak bertemu Khaled apabila menjejakkan kaki di bumi Sydney. Kata seorang sahabat di tanah air Khaled sudah menghilang sejak bermastautin di kota metro Sydney.

___

Cerpen ini dipetik daripada Dewan Sastera Februari 2012.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks