Oleh Saadiah Haji Ibrahim

Antoi melihat ada bebayang dirinya pada pohon yang meninggi mengalahkan setiap pucuk yang cuba menyaingi ketinggiannya. “Wahai pokok adakah aku ini sekukuh engkau?”

Matanya langsung melekatkan seluruh pandang pada puncak pohon yang sebatang itu. Dari satu pelepah ke satu pelapah digayutkan upaya renungan matanya. Nun jauh di puncak sana dia jelas melihat dengan mata kasarnya, adanya percantuman kasih antara tiap-tiap pelepah itu terletaknya belahan lorong yang menzahirkan buah yang berbagai-bagai peringkat usia.

Sedari masih putik yang pada asalnya dikandungkan oleh ampu lindung seludang, mereka meremaja dan terus mendewasa. Apakala tiba ketika yang sesuai turunlah sekaliannya mempersembahkan segala bakti kepada yang empunya.

‘Aku memang seperti engkau pada asalnya. Aku diampu dan dilindungi dengan penuh kasih sayang terutama sewaktu aku kecil. Aku dibelai dan diberi penuh kemanjaan sehinggalah aku menjejak remaja. Aku menjadi jatuh kasih dengan engkau kerana engkau bagaikan seiringan denganku dalam beberapa sudut.’ Kata mereka, jika engkau hendak tahu dirimu, pandanglah pada pohon itu. Pohon itu ibarat kembarmu. Engkau dilahirkan ketika bapamu sedang menanam pohon itu. Antoi tersenyum mendengar setiap kali dia  diperdengarkan mengenai asal usul diri.

Namun begitu, tidaklah dia hanya menerima dengan omongan kosong itu sebaliknya fikirannya mengukir sesuatu yang lebih jauh daripada itu. Sememangnya dia mengerti, sebenarnya benih pohon itu sudah pun tersedia semasa dia masih bertapa dalam rahim ibu. Janin yang menjelma menjadi dirinya yang sempurna sebagai bayi itu pula menghantar segala tindak balas bapanya untuk menanam pohon itu sempena kelahirannya ke alam dunia. Lantaran itu, secara tidak langsung sebuah pengertian pun berumah di hatinya. Segalanya membawa maksud, pohon nyiur yang sebatang itulah letak usianya.

Mata Antoi memanjati pohon yang mengembari dirinya itu. Dia merenungi puncak pohon. Kelihatan setiap helai daunnya begitu mesra melambai-lambai. Warna hijau pada daun itu seakan-akan menyerlahkan seribu kegembiraan. Pucuk muda yang menguning lembut baru hendak mengurai, melebarkan sayap sambil mengucup jari angin yang melampirkan bisikan kesetiakawanan. ‘Oh! Aku tak begitu,’ desah pilu dengan tiba-tiba memasuki ruang dadanya.

Dia menangkup mukanya dengan kedua-dua belah telapak tangannya. Susur matanya jatuh menjejak permukaan tanah yang kering berpasir. Perdu nyiur yang berketak-ketak di rabanya. Pada perdu yang membanir akarnya serta kerak mengerutu kulit yang menggeliling ketak, tempat asal duduknya pelepah itu jelas menunjukkan suatu petanda usia yang sedang menyusur ke angka akhir perhitungan.

Dia mulai menghitung baki usianya dengan menyusuri tebing lengan. Menyambung lagi ke sisi lehernya. Kemudian berhenti. Lantas meletakkan 10 jarinya ke batang nyiur yang kelihatan seperti berkedut itu. “Tuamu ini tetap berhasil. Semakin lama engkau hidup semakin bermutu buahmu, semakin besar dan semakin pekat santanmu. Tuamu hanya nampak di pangkal tetapi apabila dilihat di atas sana, daunmu segar, buahmu sihat. Keadaanmu sentiasa dalam kegembiraan.”

“Itu yang aku tak ada! Aku tak sepertimu. Kegembiraan sebegitu entah bila akan dapat kukecapi.” Dia melarikan diri sekali gus melarikan matanya ke mana-mana. Pohon buah-buahan yang sedang mengeluarkan bunga kelihatan seperti sedang mentertawakannya. Tua dan muda masing-masing berlumba-lumba memeriahkan proses awal penzuriatan.

Telinganya mendengar bersiung bunyi kumbang menyerikan bunga-bungaan yang kuning, yang merah hati, yang putih dan yang hijau muda. Sampaikan pohon tangki yang menjalar seakan-akan hampir menutupi permukaan sumur itu juga menyerikan alam dengan mengeluarkan bunga yang berwarna kundang untuk dicium oleh haruan dan keli yang berenang-renang terkocak-kocak menongkah lumut. Bau hanyir lumut dan tanah yang bercampur dengan air itu mengusik liang hidungnya. Dia tidak jadi untuk berkumur lalu ditumpahkannya kembali air yang bertakung di lengkung telapak tangannya itu ke dalam sumur. Lantas dia menyusuri tebing bilik air yang terletak di sisi kediamannya.

“Kalau engkau resah segeralah berwuduk.” Suara Jumilah Daeng tiba-tiba menjelma. Maka dia pun mencangkung di bawah pili yang berkepit dengan tembok sebelah luar bilik air itu.

“Ulama kita ada berpesan, janganlah engkau berwuduk di tempat yang ada terdapat najis.” Suara Jumilah Daeng sekali lagi menyinggahi pendengarannya. Dia angguk lalu membasuh kedua-dua belah tangannya dan seterusnya menyempurnakan wuduknya. Setelah selesai membaca doa, dia berasa terlalu ingin untuk duduk bersenang di anjung terbuka yang terletak di hadapan kediamannya. Dia lantas menjejaki kaki lima anjung rumah besar, tempat dia dilahirkan dan dibesarkan. Anjung itu juga sudah dimamah usia. Bapanya mengupah tukang yang mahir untuk membina anjung itu semasa dia belum lagi dilahirkan. Di situ dia sering duduk bersama-sama ibu dan bapanya untuk menikmati udara pagi yang secara kebetulan menghadap ke arah matahari terbit.

“Awal kamu siap membangkit, hari ini, Hasan?” tegur bapa Antoi sebaik-baik sahaja melintas seorang pemuda di hadapannya. Pemuda itu pula diekori oleh ibu dan bapanya yang masing-masing menjinjing sebuah baldi yang diperbuat daripada zink.

“Hari ini kami menyuluh kerana sekejap lagi anak kami hendak ke markas tentera. Dia dapat tawaran menjadi askar,” balas ibu pemuda itu sambil menjinjing baldi yang mengandungi getah sekerap. Selepas mereka siap memproses getah keping, bapa Hasan menemui Haji Tahir.

___

Cerpen  ini dipetik daripada Dewan Sastera Februari 2012.

Be Sociable, Share!