Oleh Zaleha Ahmat

WATAK

Pak Belang (Harimau Jantan)

Cik Sapi (Lembu Betina)

Burung Hantu (Pencerita)

Wakil Mergastua (Kambing/ Keldai/ Ayam/ Monyet/ Burung Bangau)

TEMPAT

Di pinggir hutan, bersempadan dengan kandang lembu.

WAKTU

Suatu hari yang panjang.

BABAK 1

(Pentas gelap. Seekor BURUNG HANTU bertenggek di atas tunggul. Lampu disorot kepada BURUNG HANTU. BURUNG HANTU sedang bermadah, menjadi pencerita).

BURUNG HANTU: Uuut! Uuut!!! Selamat pagi! Selamat pagi!!! Encik semua sudah bangun daripada mimpi? Saya belum tidur lagi. Lihatlah mata saya. Serupa mata panda. Eh! Saya burung hantu. Adakah mata saya serupa hantu?

(Di latar, suara BURUNG HANTU berbunyi). Cis, menakutkan betul! Tahyul! Tahyul!!! (Menggeleng). Encik sudah bersedia? Sebelum saya tidur, saya mahu bercerita. (Suara BURUNG HANTU berbunyi lagi). Tidak, ini bukan cerita seram atau misteri. Pembuat filem itu dah rosakkan reputasi saya. Ini cerita tentang encik semua. (Suara BURUNG HANTU bersahut-sahutan). Hisy! Saya mahu pergi minta royalti daripada pembikin cerita seram itu. Encik tinggal di sini, ya. Saya mahu hantar surat saman kepada mereka. Oh! Ya! Hampir terlupa. Ini cerita tentang kawan saya. Mungkin ada cerita tentang encik juga.

BABAK 2

(Latar pinggir hutan bersempadan dengan kandang. Suasana sunyi diselang-seli kicauan burung. Lampu perlahan-lahan diterangkan kepada PAK BELANG. PAK BELANG sedang menggeselkan badannya di batang pokok. Sesekali dia melihat kukunya yang tajam).

PAK BELANG: Ah! Siapa yang bising pagi-pagi ini? Tidurku tak tenteram. Sepanjang malam Encik Burung Hantu merayu kepada bulan. Macam-macam lagu dinyanyikan. Oh bulan! Oh bulan!. Dia tak lihat kalendarkah? Hari ini bulan gelap. Hisy! Mengganggu tidur orang. Nasib baik perutku sudah berisi. Semalam makan, cukuplah untuk dua tiga hari. Kena berjimat-cermat. Makan sekali tahan dua hari. Aah! Mata ini bertambah mengantuk pula. (PAK BELANG menyandarkan badannya ke batang pokok dan mula melelapkan mata).

(Lampu untuk kandang lembu diterangkan. CIK SAPI sedang berehat di tepi kandang. Ekornya melibas lalat yang hinggap di punggung).

CIK SAPI (memanjangkan leher): Eh! Pak Belang. Sejak bila pula pindah ke pinggir

hutan ini? Tak takutkah nanti dilihat orang kampung? (CIK SAPI menjongolkan kepala di tepi kandang).

PAK BELANG (membuka mata dan melihat ke arah kandang): Wah! Wah! Wah! Cik Sapi. Bercakap seperti tak ingat diri. Senang-senang saja kau menegurku. Kau tahu aku ini siapa? (PAK BELANG menunjuk lagak, mencakar-cakar tanah).

CIK SAPI: Saya tak ada niat buruk apa-apa pun pada Pak Belang. Janganlah marah. Tak baik untuk kesihatan.

PAK BELANG: Kau ini ada amnesiakah? Pelupakah? Kau tak pernah dengar persepsi orang tentang aku? Aku garang! Nak aku tunjuk garangkah?

CIK SAPI: Persepsi? Macam Coca-cola atau Sarsi?

PAK BELANG: Itu Pepsi. Kau ini lembaplah. Tak pernah belajarkah tentang persepsi? Tentang tanggapan orang pada kita. Memang kau ini tak boleh diajar agaknya?

CIK SAPI: Amboi, Pak Belang! Baru masuk kampung orang dah mahu tunjuk handal. Kalau saya tak tahu, ajarlah saya. Bukankah patut Pak Belang menghulurkan tali persahabatan? Ini tak, belum menegur jiran tetangga dah tunjuk cakar dan taring. Jangan sombong, Pak Belang. Jangan antisosial. Jangan! Jangan!!! Paling tak, senyum sajalah, tak perlu kata apa-apa.

(KAMBING masuk ke dalam set pentas, tersenyum-senyum melihat PAK BELANG dan CIK SAPI. KAMBING kemudian melihat ke langit, mendengar guruh, cepat-cepat KAMBING melintas masuk ke kawasan kandang).

PAK BELANG: Senyum-senyum… .Entah-entah macam Kak Kam kita ni, hah! Senyum kambing, entah ikhlas entah tak. Nampak baik di muka, siapa tahu dalam hati macam-macam ceritanya. Nak masuk kandang tu, dah mandikah Kak Kam, oiii? Nanti orang sebut fasal bau badan, awak juga yang kecil hati. Cuba-cubalah pakai deodarankah, minyak atarkah?

CIK SAPI: Pak Belang ni, tak baik merepek-repek. Kuasa Pak Belang bukankah pada taring dan kuku yang tajam? Tak sangka, mulut Pak Belang pun boleh tahan juga.

PAK BELANG: Eh! Orang ada mulut, mestilah berkata-kata. Takkan nak diam saja. Orang burukkan kita, takkan kita buat tak tahu dan entah apa-apa! Macam Kak Kam tu, dihina orang, aku betul-betul hairan, kenapa dia tak melawan?

___

Drama ini dipetik daripada Dewan Sastera Februari 2012.

Be Sociable, Share!