JUDUL : CATATAN PERISTIWA SASTERA

PENULIS : AHMAD FADZIL YASSIN

PENERBIT : DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA

HARGA : RM43.0O

PENGULAS : A. ZAINOOR ISMAIL

Catatan kesusasteraan yang bersifat jurnalistik merupakan salah satu bentuk penulisan dalam dunia kesusasteraan. Banyak juga penulis yang gemar menulis karya kreatif menggunakan kaedah ini, sama ada dalam cerpen atau novel. Antara yang sangat popular menggunakan konsep penulisan ini ialah Sasterawan Negara Abdullah Hussain.

Buku Catatan Peristiwa Sastera ini mengumpulkan tulisan Ahmad Fadzil Yassin, yang dahulunya wartawan yang sering menulis kisah sekitar dunia kesusasteraan tanah air. Pengarang menulis buku ini dalam bentuk catatan kewartawanan dengan mengguna pakai kaedah “apa, siapa, bila, di mana dan mengapa”. Tulisan atau catatan peristiwa ini merupakan rakaman dokumentasi yang sangat berguna dan akan menjadi rujukan dan tinggalan sejarah dalam dunia kesusasteraan tanah air pada masa hadapan. Buku ini mengumpulkan tulisan Ahmad Fadzil Yassin yang pernah tersiar dalam akhbar perdana tanah air, terutama dalam Utusan Zaman, Berita Harian, dan Berita Minggu.

Buku ini mengandungi lapan bahagian. Bahagian pertama di bawah tajuk “Organisasi Penulis”, penulis banyak menyentuh tentang GAPENA (Gabungan Penulis Nasional), daripada kisah kepimpinan persatuan, kisah kegiatan dan peranannya, hinggalah perjuangan dan pergolakannya. Dalam bahagian kedua, “Bicara Tokoh” pembaca akan dapat melihat suasana dunia kesusasteraan pada waktu itu yang begitu semarak dengan tokoh-tokoh hebat sastera yang menggegarkan dunia kesusasteraan tanah air. Antara esei yang paling menarik adalah tentang kisah Sasterawan Negara A. Samad Said merajuk kerana berhadapan dengan kerenah dunia kesusasteraan. Beberapa esei tentang kegiatan bicara buku juga terdapat dalam buku ini di bawah tajuk “Bicara Karya”.

Penulis juga mengumpulkan tulisan beliau tentang dunia penerbitan tanah air di bawah judul “Bicara Penerbitan”. Antara isu yang disentuh adalah tentang tanggungjawab penerbit melahirkan karya bermutu, masalah penerbit untuk mendapat penulis yang baik, sukarnya untuk mendapat editor yang berwibawa, menangani kerenah penulis muda, hak cipta dan royalti yang melibatkan tanggungjawab dan sikap penerbit, dan hadiah sastera serta sikap penerbit. “Politik Sastera” pula menyentuh isu saling bertentang dari segi kaedah dan pendekatan, iaitu sama ada “memasyarakatkan sastera atau mensasterakan masyarakat?” Melihat kehidupan sastera yang semakin terpinggir dan sastera senilai hampas juga antara yang cukup menarik dibaca oleh peminat sastera, pengkaji sastera dan para penulis bagi melihat senario sastera pada waktu itu.

“Bicara Cipta Sastera” banyak menyentuh tentang isu kebahagiaan dan kedukaan penulis terhadap karya yang berjaya dihasilkan oleh mereka, terutama tentang pengiktirafan yang diterima oleh penulis dalam “Hadiah Sastera” yang tidak sudah-sudah mengundang kontroversi. “Bicara Karya” menyajikan tulisan Ahmad Fadzil Yassin terhadap Suluh Peraba karya Rahman Shaari yang panas diperkatakan pada waktu itu dengan judul “Suluh Peraba: Novel Humor yang Nakal”. Akhir sekali, buku ini mengumpulkan kegiatan kesusasteraan yang rancak memeriahkan persada sastera tanah air. Buku ini merupakan satu dokumentasi sastera tanah air yang amat penting.

___

Ulasan buku ini diambil daripada Dewan Sastera September 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks