OLEH: NISAH HARON

Dekad 2000 hingga 2010 adalah era yang penuh dengan warna-warni dalam industri penerbitan Malaysia. Cahaya benderang itu sedikit banyak berpunca daripada kepesatan penerbitan buku selain bilangan majalah dan akhbar yang semakin meningkat. Hal ini ditambah lagi dengan iklim politik yang sering berubah-ubah. Namun begitu, senario ini masih memberikan kesan positif terhadap perkembangan industri penerbitan secara umum.

Dari sudut sejarah, dekad ini merupakan ulang tahun kepada banyak perkara yang telah berlaku di Malaysia. Selain menyambut ulang tahun ke-50 kemerdekaan pada tahun 2007, 50 tahun penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 2006 dan pada tahun 2011 juga merupakan ulang tahun ke 500 kejatuhan Empayar Melaka ke tangan Portugis.

Hal ini menjadikan banyak acara yang bersifat “sempena”. Sastera turut memainkan peranan menjadikan projek penerbitan yang bersifat komemoratif ini menjadi penanda kepada peralihan zaman. Di samping itu, menoleh kembali kepada nostalgia yang membentuk jati diri warganya pada hari ini.

Sasterawan Negara Shahnon Ahmad mengatakan bahawa, bahasa sastera adalah seismograf kehidupan. Apa itu seismograf? Menurut Kamus Dewan, seismograf ialah alat bagi mengukur kekuatan gempa bumi. Itu makna yang bersifat literal ataupun harafi ah. Seismograf dalam erti kata lain ialah kayu ukur ataupun penyukat kepada kehidupan.

Sastera ialah penanda aras kepada turun naik sesebuah tamadun bangsa. Tamadun Greek, misalnya, masih lagi diperkatakan sehingga hari ini kerana sumbangan yang terlalu besar dalam bidang persuratan, khususnya sastera dan linguistik. Banyak rujukan yang masih lagi merujuk bahasa itu walaupun sebahagian besarnya adalah legenda dan mitos. Namun begitu, dokumentasi yang dibuat walaupun pada ukiran pasu menjadikan pemikiran bangsa mereka berada dalam bentuk yang kekal dan dapat dibawa dari zamannya sehinggalah hari ini.

Faktor Sayembara dan Anugerah Sastera

Dekad mutakhir ini memperlihat kerancakan sayembara dan banyak anugerah sastera diperakukan oleh pihak berwajib dan juga kerajaan Malaysia. Nilai hadiah yang ditawarkan turut menjadi petunjuk bahawa sastera semakin mendapat pengiktirafan, walaupun bukanlah nilai hadiah itu yang menjadi dambaan kepada pengarang. Pengiktirafan yang sedemikian telah memberikan satu bentuk “tekanan” yang positif kepada pengarang untuk menghasilkan karya yang benar-benar berwibawa dan layak untuk menerima nilai hadiah yang ditawarkan.

Hal ini menjadikan para pengkarya bertungkus-lumus membuktikan bahawa karya sastera pada dekad ini lebih ke hadapan dan tidak lagi mengulang tema dan mencari pengolahan karya yang lebih segar dan sesuai untuk pembaca masa kini dan juga pada masa hadapan.

Antara sayembara besar yang telah menarik perhatian ramai pengarang di Malaysia ialah Sayembara Novel Alaf Baru 2001, Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas DBP, Sayembara Mengarang Novel Sempena 50 Tahun Merdeka, Sayembara Menulis Novel Sejarah dan Tradisi Johor 1, Sayembara Menulis Novel Sejarah Johor dan Sayembara Novel Hadiah Sastera Kumpulan Utusan – Exxon-Mobil.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Sastera Februari 2012.

Be Sociable, Share!