OLEH: ZURINAH HASSAN

Pada 14 Oktober 2011, peminat teater di utara Semenanjung khasnya, di Alor Setar, berpeluang menyaksikan teater bertajuk Jarum Cinta, karya Amelia Hashim. Karya ini dipentaskan oleh AKRAB (Persatuan Penggerak Warisan Budaya) yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara sempena sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat negeri Kedah, 2011.

Pementasan yang berlangsung di Auditorium Kedah.FM, Kompleks Penyiaran Sultan Abdul Halim mendapat sambutan hangat. Pementasan teater ini juga mengukir sejarah kerana sejak kompleks ini wujud pada tahun 1991, ini merupakan julung kali teater karya anak tempatan di angkat ke pentas tersebut. Jarum Cinta bertemakan kemelut kehidupan anak muda pada zaman ini yang sangat membimbangkan. Mereka terjebak dengan pelbagai gejala sosial. Generasi muda diancam bahaya, seperti HIV, AIDS akibat penggunaan dadah yang menjadikan mereka seperti bangkai bernyawa yang membebankan masyarakat setempat dan negara.

Teater Jarum Cinta membuktikan kehebatan para pelakon, seperti Muhd. Zamri (ayah), Syahida Syukur (ibu), Suria Afrina (anak), Wan Suhairi Wan Senu (pemidato), Sari Athirah (virus) Mohd. Faiz (penagih 1 dan 2), M. Yushazizi, M.Yusri, Fieza Faziyani dan Mohd. Yusuf (penagih) yang dibimbing oleh Saipol Bahari Mohd. Iman selaku pengarah.

Adegan dimulakan dengan penagih dadah yang menjadi gelandangan di celahan sampah. Watak yang dinamai Virus mengintai dan bersiap sedia untuk memusnahkan mangsa. Ayah dan Ibu ketakutan dan mula bertanya-tanya apakah yang sedang berlaku di sekitar mereka. Mereka cuba menyembunyikan anak-anak mereka daripada bahaya yang mengancam. Mereka cuba mencari jawapan kepada segala pertanyaan yang dilemparkan oleh anak-anak. Jarum Cinta sarat dengan pesanan kepada masyarakat, seperti yang diucapkan oleh Ayah kepada Ibu.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Sastera Februari 2012.

Be Sociable, Share!