OLEH: ZARIMA MOHD ZAKARIA

Adeeb Kamal Ad- Deen sasterawan terkemuka di Iraq. Beliau dilahirkan di Babylon pada tahun 1953. Adeeb berkelulusan Ijazah Ekonomi dan Pentadbiran dari Universiti Baghdad (1976) dan pemegang Ijazah Kesusasteraan Bahasa Inggeris dari universiti yang sama pada tahun 1999. Beliau turut mempunyai diploma dalam bidang terjemahan (Arab-Inggeris) dari Adelaide Institute of TAFE, Selatan Australia (2005) dan kemahiran itu meletakkan beliau sebagai penterjemah yang baik dan popular. Beliau bukan sahaja berkecimpung dalam dunia sastera, malahan berketerampilan dalam arena kewartawanan.

Kemunculan Adeeb sebanding dengan tokoh sasterawan Iraq era 70-an. Beliau menerbitkan 13 antologi terbaik yang memenangi hadiah utama Sastera Iraq pada tahun 1999. Puisi beliau banyak diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa dan dijadikan sebagai sumber rujukan. Puisi beliau juga turut dijadikan bahan penyelidikan oleh penulis dari pelbagai negara seperti Iraq, Tunisia, Lubnan, Palestin, Yaman dan Maghribi. Para pengkritik sastera menjadikan karya Adeeb sebagai karya yang perlu diselami dengan lebih mendalam sehingga terbitnya sebuah buku bertajuk, Manusia Abjad; 33 pengkritik menulis tentang puisi Adeeb Kamal Ad-Deen (disunting oleh Dr. Migdad Rahim). Pengkritik Sastera dari Syria, Dr. Saleh Arrazzouk juga menerbitkan sebuah buku mengenai Adeeb yang bertajuk, Sosial dan Pengetahuan dalam Puisi Adeeb Kamal Ad-Deen.

Keunggulan dan ketokohan sasterawan Adeeb terpamer menerusi keunikan dan kekreatifan karya beliau yang bermutu tinggi. Buku penulisan beliau juga difokuskan kepada rahsia di sebalik abjad. Beliau mengupas huruf abjad sebagai satu simbol istimewa dan diceritakan dalam pelbagai aspek seperti semantik, kriptografi , visual, juga dari sudut warisan, simbol legenda dan kerohanian. Melihat buku penulisan beliau yang menggunakan abjad sebagai tajuk utama bukunya seperti (Jim), (Nun), (Ha), (Titik Noktah) dan (Apa-apa yang sebelum huruf dan apa-apa yang selepas noktah). Maka tidak hairanlah beliau digelar sebagai tokoh abjad (Man of Letter).

Penerokaan sasterawan Adeeb dalam bidang terjemahan pula adalah bersifat global. Pelbagai cerpen, puisi, rencana serta buku yang diterjemahkan ke bahasa Arab yang diambil daripada sumber tokoh sasterawan antarabangsa dari Amerika, China, Korea, Jepun, Belanda, India, British, Australia dan New Zealand. Antara karyawan antarabangsa yang menjadi sumber inspirasi beliau seperti James Thurber, Alan Paton, William Saroyan, Rust Hills, Wallace Stevens, Murray Bail dan ramai lagi. Tidak kurang juga puisi beliau turut diterjemahkan ke bahasa Inggeris, Jerman, Perancis, Kurdish dan Rom.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Sastera Februari 2012.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks