Judul : Kumpulan Drama Anwar Ridhwan
Penulis : Anwar Ridhwan
Penerbit : Dewan Bahasa Dan Pustaka (2009)
Harga : RM28
Pengulas : Firas Asyraf

Sasterawan Negara, Dato’ Dr. Anwar Ridhwan terkenal sebagai pengarang yang memancarkan pemikiran dalam karyanya. Beliau tidak melahirkan karya yang biasa sebaliknya menuntut penelitian dan penaakulan khalayak. Kebanyakan karyanya memanfaatkan pelbagai teknik yang jarang-jarang digunakan oleh karyawan lain.

Walaupun dikenali sebagai pengarang cerpen dan novel yang hebat, beliau turut menghasilkan beberapa drama dan mementaskannya. Drama yang dihasilkan kebanyakannya menggarap perihal kepemimpinan, kuasa, nasionalisme dan isu pendidikan, bahasa dan sosial.

Kumpulan Drama Anwar Ridhwan menggabungkan tiga drama yang memancarkan idea dan pemikiran pengarangnya. Drama tersebut ialah “Orang-orang Kecil”, “Yang Menjelma dan yang Menghilang”dan “Pulang”. Ketiga-tiga skrip drama ini pernah memenangi Hadiah Utama Peraduan Menulis Drama Yayasan Seni-Berita Harian 1990.

Sebagai drama alegori, pementasan drama “Orang-orang Kecil” bergantung pada tafsiran dan kebijakan sutradara. Drama ini berkisar kepada pimpinan sebuah kekuasaan yang dijelmakan pada ruang yang kecil, iaitu rumah warisan, tempat kisah dalam drama ini berlaku. Watak dalam drama ini tidak menggunakan nama biasa tetapi menggunakan nama yang sesuai dengan peranannya, iaitu Doktor, Wanita dan Peguam.

Anwar mengeksploitasi pemikirannya tentang gelagat manusia dalam drama “Yang Menjelma dan yang Menghilang”. Drama ini ditulis secara halus dan tajam, sindiran atau ejekan dan sendaan yang menimbulkan ketawa dan kesedaran manusia tentang kebodohan, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, ketamakan dan kehalobaan, kesombongan dan kesalahfahaman fikiran dalam sesebuah masyarakat, bangsa dan negara.

Pengarang bersandarkan mitos yang melibatkan watak khayalan seperti Betara, Guru, Sira Panji Narada dan sebagainya. Kisahnya tentang dewa yang melanggar sumpah kayangan lalu tercampak ke bumi. Di dunia mereka hidup dengan pelbagai agenda dan tindak-tanduk untuk mendapat berkat dan kesenangan, di samping mendapat keampunan daripada Betara Guru atas dosa silam.

Drama “Pulang” menyorot kisah penjajahan Tanah Melayu oleh Inggeris pada era 1950-an, ketika semangat dan perjuangan nasionalisme Melayu mulai memuncak. Semangat ini tersebar di satu kawasan perlombongan bijih besi yang hasil buminya dirompak oleh Inggeris. Rustam watak nasionalis muda yang berani menentang sikap tamak penjajah itu melalui kritikan dalam akhbar. Akibat tindakan itu, Rustam dibawa ke muka pengadilan dan akhirnya dipenjarakan.

Watak lain dalam drama ini ialah Tuan Campbell, pengurus lombong dan Yaakub, mandur yang bercita-cita bermigrasi ke England dan mengahwini wanita Inggeris. Setelah dibebaskan, Rustam kembali ke kawasan perlombongan itu dan menjadi pemimpin masyarakat di situ.

Walaupun terhasil lebih dua dekad yang lalu, naskhah di atas relevan dengan perkembangan semasa, terutamanya ketika masyarakat mengesampingkan nilai murni demi laba dunia yang singkat.

Ulasan buku ini dipetik daripada Dewan Sastera Februari 2012.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks