Oleh Muhammad Haji Salleh

Saya melewati beberapa nisan yang terdiri di tepi lorong simen di samping makam Masjid Langkat. Saya tidak melihat pusara Amir Hamzah, walaupun di hadapan kawasan pusara itu terdapat sebuah tugu konkrit kecil yang memperkenalkan beliau sebagai pahlawan nasional. Mata saya diangkat untuk mencari pusaranya tetapi saya gagal menemuinya. Tiba-tiba teringat, sekitar 25 tahun yang lalu, sebagai penyair muda, saya pernah berdiri dengan perasaan sangat sedih di hadapan makamnya. Ternyata, jauh ke tengah, antara ceragah nisan terdapat sepasang nisan yang tidak besar atau terlalu istimewa. Dalam huruf Jawi dan Rumi yang bersalut air emas beliau dinamakan Tengku Amir Hamzah.

Pada sekeping marmar melintang pula diturunkan empat nukilan daripada sajaknya. Yang paling menyayat ialah:

Datanglah engkau wahai maut, lepaskan aku dari nestapa, engkau lagi tempatku berpaut, di waktu ini gelap gulita.

Sajak ini boleh dibaca oleh semua orang yang kecewa. Amir menulisnya sebagai seorang muda yang kecewa, mungkin kerana dia tidak dapat mengahwini kekasihnya, yang diperisterikan oleh abangnya dan seterusnya, Ilik Sundari yang ditemuinya di Jogja harus dinikahi. Tetapi, maut datang agak cepat, ketika Revolusi Sosial pada tahun 1946, sewaktu beliau berusia 35 tahun. Sebagai ahli kelas bangsawan pada zaman revolusi, beliau digolongkan sebagai penyokong berterusan kehadiran Belanda di Indonesia. Hakikatnya, kaum revolusi memperjuangkan kemerdekaan negara.

Oleh yang demikian, kedua-dua kelompok ini bertentangan konsep dan gerakan politiknya. Apabila kemarahan berpuncak maka dibunuhlah (biasanya dipancung) puluhan orang bangsawan Langkat, dan seorang daripadanya ialah Amir Hamzah. Tragisnya, didapati Amir Hamzah bukan penyokong golongan feudal tetapi beliau wakil Republik di Langkat. Beliau kini dikenali sebagai seorang pahlawan Indonesia yang pernah memperjuangkan bahasa dan sastera serta Indonesia sebagai sebuah negara merdeka. Puisi dan perlakuan beliau merupakan bukti jelas semua sumbangannya.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Sastera Februari 2012.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks