OLEH: SHAHNON AHMAD (SASTERAWAN NEGAGA)

Kata filsuf, manusia itu sinonim dengan masalah. Ada manusia ada masalah. Masalah itu ialah manusia. Dalam perkembangan manusia-masalah ini, pelbagai julukan diberi untuk memaknakan manusia masalah seperti persengketaan, perbalahan, konflik, pertikaian, pertentangan, kemelut, kontradiksi, ketegangan dan sebagainya. Masalah manusia berdetik di mana-mana dan bila-bila ketika, baik yang bersifat luaran mahupun dalaman; masalah antara manusia berlandaskan pelbagai isme, masalah antara manusia dengan alam dengan segala sofistikasinya, masalah antara manusia dengan Tuhan yang menyentuh persoalan agama, masalah dalam diri manusia itu sendiri sebagai individu sehingga membawa padah terkeluar daripada dugaan.

Manusia yang sewajarnya memperoleh hidayat yang lurus, kebanyakannya bergelumang di jalan yang bengkok. Nafsu mengawal segala, menunduk akal dan hati sehingga hiduplah manusia dalam nafsu bahimiyah, subu’iyah, amarah dan syaitaniah. Amat sedikit akal dan hati yang mampu mengawal nafsu sehingga memperoleh nafsu mutmainnah atau mulhamah.

Maka lahirlah seribu satu masalah kehidupan manusia. Lahirlah sengketa, konfl ik, pertentangan, pertikaian, kemelut, ketegangan dan kontradiksi yang bersifat luaran dan dalaman, berlarutan sehingga menemui ajal. Kata pujangga, sebahagian besar proses kreatif dalam penciptaan karya sastera baik novel, cerpen, drama atau puisi sebenarnya bermula daripada masalah. Tahap mula inilah yang merongrong penciptaan karya. Kisah yang bertolak daripada sengketa, pertikaian, konfl ik, kontradiksi, pertentangan, kemelut dan ketegangan, baik yang bersifat luaran atau dalaman atau kombinasi antara kedua-duanya. Sengketa tercetus antara puak, negara, anggota dalam masyarakat dan keluarga; malah banyak yang bersengketa dalam dirinya sendiri sehingga diri menjadi sasaran yang pelbagai.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Sastera Februari 2012.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks