OLEH: NORIAH TASLIM

Hikayat Isma Yatim (berdasarkan naskhah faksimile, Roger Toll) merupakan karya yang menarik, walaupun sukar untuk kita kategorikannya dalam sesuatu genre tulen yang tertentu. Sifat (sedikit kacau) karya yang begini memang lumrah terlihat dalam kumpulan teks transisi Hindu-Islam, yang kebanyakannya memaparkan sifat karya sintesis yang amat unik. Kita mungkin boleh katakan bahawa teks ini memperlihatkan apa-apa yang disebut oleh Bakhtin sebagai sifat dialogic (fenomena intertekstual Bakhtin) yang sebenarnya merupakan teknik penciptaan sastera Melayu tradisional yang lumrah.

Sekiranya kita merujuk konsep struktur genre yang dikemukakan oleh Braginsky, maka teks ini boleh dikategorikan sebagai genre hibrid (sesuai dengan sifat dialog dan sintesisnya), sama seperti Hikayat Raja Pasai, Hikayat Deli, Hikayat Raja Budak, yang dalamnya tersisip pelbagai genre tulen contohnya adab, sejarah, roman kepahlawanan (mirip epik) dan roman fantastik. Demikian kita dapati dalam Hikayat Isma Yatim tersisip genre adab (ketatanegaraan), hidayah (cermin tingkah laku), roman fantastik, malah “biografi ” (biografi fi ksyen).

Hikayat ini merupakan “buku Ilmu” dan “kitab”. Masyarakat tradisional tidak mempunyai konsep genre tulen seperti yang kita definisikan hari ini. Kalau ada pun, konsep ini hanya mirip konsep genre tersebut. Karya sastera hanyalah satu persuratan, dalamnya boleh menggabungkan pelbagai teks lain yang dijalin menjadi sebahagian kesatuan teks. Sebagai memenuhi satu siri tema tentang wanita, esei ini dengan demikian hanya memberikan tumpuan kepada satu aspek teks yang agak menarik yakni peranannya sebagai karya yang mendidik adab wanita atau dalam teks disebut “syarat perempuan yang sempurna” (di samping mendidik adab raja-raja). Dalam hikayat ini adab wanita disampaikan melalui babak dialog antara “dian”, “tanglung”, “kandil pelita”, “tirai” dan burung merak yang mewakili suara Isma Yatim/pengarang. Babak tersebut berlaku di dalam bilik tuan Puteri Ratna Kemala sewaktu beliau sedang hampir hendak beradu, lantas terbangun apabila mendengar dialog “watak-watak” tersebut. Babak itu bermula dengan pertanyaan dian, “Hai tanglung mengapa maka dualapan anak tuan hamba seorang pun belum bersuami?”. Maka berkata tanglung berjentera itu. “Hai dian, bukannya mudah orang bersuami itu kerana syarat perempuan terlalu sukar.” Hatta maka dian, kandil pelita dan tirai pun menyahut, “Hai tanglung, katakan apa syarat perempuan itu, supaya kami sekalian menengar dia.”

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Sastera Februari 2012.

Be Sociable, Share!