OLEH: JAIS SAHOK

OK OK novel karangan penerima Anugerah SEA Write 2006 dari Sarawak, Jong Chian Lai, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2010. Novel ini terkarang dalam 22 bab (Nor Edayu, 2011) dan mengisahkan watak (bukan watak utama) Ok Ok, seekor orang utan yang amat bermakna kepada kehidupan seorang datuk, Encik Keliung Anak Juing. Encik Keliung Anak Juing bapa Jimbau. Jimbau pula bapa Jabau dan Rinda.

Peristiwa yang signifi kan dalam novel Ok Ok adalah apabila Encik Keliung yang hidup sendirian di rumah panjang, perlu berhijrah ke Taman Malihah, di pinggir Bandar Raya Kuching, tetapi berpindah bersama-sama Ok Ok, anak orang utan yang sudah membesar bersama-samanya sejak sekian lama. Apabila menjadi binatang peliharaan di kawasan perumahan bandar, Ok Ok mendatangkan kesan positif dan juga negatif. Kesan positif, kehadirannya membuka peluang kepada keluarga Jabau menjadikannya daya tarikan pelancongan sehingga keluarga itu menjadi terkenal.

Kesan negatif, Ok Ok menyebabkan Ah Kow, bapa Ah Seng (salah seorang dalam kumpulan budak nakal Ningkan dan Samad) kemalangan dan apabila Ok Ok melarikan diri ke dalam hutan setelah dilastik oleh tiga orang budak nakal, banyak orang melalui kesusahan – mencari anak yang turut hilang, mencari Ok Ok untuk dibawa pulang. Tempat Ok Ok juga menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes sehingga Rinda sendiri menjadi mangsanya. Walau bagaimanapun, novel ini memaparkan pengakhiran yang harmoni apabila OkOk (walaupun terpaksa) diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar untuk ditempatkan di Taman Hidupan Liar Matang.

Encik Keliung (orang tua), orang rumah panjang yang tipikal, yang tidak tahan duduk di rumah sahaja akhirnya diberikan pekerjaan iaitu bercucuk tanam di sekeliling rumah mereka di Taman Malihah oleh anaknya sendiri. Dalam masa yang sama dia mendapat tawaran sebagai pekerja sambilan di Taman Hidupan Liar Matang khusus untuk menjaga Ok Ok.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Sastera Februari 2012.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks