OLEH:Hasni Jamali

Petikan ini diambil daripada cerpen “Dikotomi Pensel” yang pernah tersiar dalam majalah Dewan Sastera pada bulan Oktober 2003. Melalui cerpen ini, pengarang ingin menyampaikan sebuah kisah yang sarat dengan makna tersendiri. Seruan kepada “pensel yang punya rasa!” menggambarkan pengarang mahu pembacanya turut sama berasa terangsang dengan perasaan diseru atau dipanggil-panggil untuk menyelami makna sebenar karya. Namun begitu, sejauh manakah pembaca dapat menyerap segenap makna dalam 26 buah cerpen yang terhidang dalam kandungan kumpulan cerpen Hanya Makna ini. Melalui jiwa terbuka, kefahaman yang wajar mula berputik dan akhirnya tiap-tiap makna bacaan mampu terisi dalam hati.

Seru jiwa dalam konteks kajian ini boleh ditakrifkan sebagai sesebuah karya itu seolah-olah membayangi manusia pembaca dengan makna tersirat di sebalik tersuratnya makna. Secara keseluruhan, kumpulan cerpen ini cuba menyampaikan makna daripada setiap aspek kehidupan penghuni dunia bernama manusia. Makna yang disampaikan pula amat halus dan berlapis-lapis nilainya. Hal ini kerana kumpulan cerpen Hanya Makna tidak melihat permasalahan secara biasa, tetapi menggunakan mata hati melihat perkara yang terlindung di sebalik lapisan (Khairil Anwar, hlm. 9).

Oleh sebab itu, setiap kisah yang dicoret dalam kumpulan cerpen ini boleh dipandang, ditafsirkan dan dimaknakan daripada pelbagai sudut tanggapan. Manusia sebagai warga pembaca yang dikurniakan akal oleh Yang Maha Pencipta sering tercari-cari makna kehidupan, namun di sebalik pencarian itu ada antara mereka yang tersasar dari landasan kebenaran. Walau bagaimanapun, beruntunglah pula bagi manusia pembaca yang bakal menerima nikmat untuk merasai dan meresapi makna kehidupan yang terkisah dalam kumpulan cerpen Hanya Makna hasil lontaran bicara Siti Jasmina Ibrahim ini.

Kajian seru jiwa ini memberi fokus kepada empat jenis seruan yang terpapar dalam setiap satu cerpen. Seruan kepada erti kehidupan menjadi topik utama dalam pembikinan makna. Keprihatinan terhadap kepercayaan dan amalan pantang larang juga meliputi aspek perincian makna yang tersendiri. Kemudian, cerpen yang terpilih juga menunjukkan bersifat falsafah dan pandangan tulus hati terhadap persoalan yang dikisahkan. Yang akhir, seruan yang merangkumi dilema kepada jiwa. Setiap seruan yang terlihat dan dirasakan oleh pembaca akhirnya membuahkan pengalaman dan nikmat tersendiri apabila makna yang ingin disampaikan oleh pengarang tercapai.

Keempat-empat jenis seruan ini tidak dapat diasingkan secara terus. Hal ini adalah kerana setiap sudut persoalan akan berkait antara satu sama lain. Bermula dengan persoalan dan pandangan kehidupan lalu membentuk keprihatinan dalam diri terhadap sebuah kepercayaan dan budaya kehidupan. Kemudian, berpadu kedua-dua seruan ini menjalin hubung dengan sebuah falsafah atau pemikiran terhadap sebab dan akibat penceritaan. Seterusnya terhasil pula dilema yang sering wujud dalam kehidupan manusia lalu membawa permasalahan dan persoalan yang terkisar dalam penceritaan kepada pemahaman makna dunia sebenar kehidupan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Sastera Februari 2012.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks