Oleh HAMZAH HAMDANI

PENUBUHAN Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) pada 23 Oktober 1970 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, melalui proses perkembangan sejarah yang menarik. Setelah Persekutuan Tanah Melayu, dan kemudiannya Malaysia, mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, para penulis menubuhkan persatuan penulis di negeri-negeri. Di Kuala Lumpur, pada 12 Februari 1961, para penulis yang pernah aktif menubuhkan dan menggerakkan ASAS 50 di Singapura, bersatu menubuhkan Persatuan Penulis Nasional (PENA).

Beberapa persatuan penulis di negeri mulai sedar betapa perlunya diwujudkan persatuan yang benar-benar bertaraf kebangsaan. PENA hanya bergerak di Kuala Lumpur, dan tidak dianggap mewakili suara penulis seluruh Malaysia. Namun, badan penulis di negeri mempunyai keyakinan bahawa PENA dapat memainkan peranan untuk menyatukan persatuan penulis di seluruh Malaysia.

Atas desakan persatuan penulis di negeri, akhirnya PENA mengundang badan tersebut ke suatu pertemuan di DBP, pada 20 September 1969. 13 persatuan

telah menghantar wakil dan empat persatuan lain menyatakan sokongan. Satu jawatankuasa dibentuk untuk merealisasikan hasrat menubuhkan gabungan persatuan penulis. Ahli terdiri daripada A. Bakar Hamid, Profesor Mohd. Taib Osman, Baharuddin Zainal, Usman Awang dan Md. Yusuf Harun. Mereka diberi amanah menggubal perlembagaan persatuan yang dicadangkan itu. Pada 23 Oktober 1970, PENA telah mengundang persatuan penulis ke pertemuan untuk menubuhkan GAPENA.

Daripada 13 badan penulis yang hadir, hanya 12 badan penulis yang bersetuju dengan penubuhan GAPENA. Badan tersebut ialah PENA, Gabungan Sasterawan Sedar Kedah (GATRA), Persatuan Penulis Johor (PPJ), Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM), Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN), Persatuan Penulis Kelantan (PPK), Ikatan Persuratan Melayu Melaka (IPM), Kelab Penulis Seberang Prai (KPSP), Persatuan Sasterawan Muda Terengganu (PELITA), Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP), Persatuan Penulis dan Peminat Sastera Kedah (PSK) dan Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB). Badan penulis yang tidak bersetuju ialah Badan Bahasa Sabah (BAHASA). Mesyuarat penubuhan yang dipengerusikan oleh Usman Awang itu akhirnya telah memilih ahli jawatankuasa kerja yang terdiri daripada Drs. Ismail Hussein, Keris Mas, Ismail Dahaman, Ahmad Sebi Abu Bakar, Saleh Daud, Atondra, Zakry Abadi, Zam Ismail dan Kemala.

Pertemuan itu meluluskan Perlembagaan GAPENA yang memaktubkan empat tujuan penubuhannya. Pertama, menyatupadukan penulis tanah air yang menulis dalam bahasa kebangsaan. Kedua, mempertahankan dan memperjuangkan hak dan kepentingan penulis. Ketiga, memberikan sumbangan moral dan material secara positif kepada tujuan dan cita-cita gabungan. Keempat, mengusahakan peluang untuk penulis memajukan bakat mereka. Bagi mendukung empat tujuan tersebut, GAPENA menjalankan empat kegiatan. Pertama, mengeluarkan majalah/lidah rasmi. Kedua, mengusahakan penerbitan karya penulis dalam rangka

memperkayakan kesusasteraan dan ilmu pengetahuan. Ketiga, mewakili penulis tanah air dalam hal yang melibatkan kepentingan penulis dalam persidangan dan pertemuan penulis di dalam dan di luar negeri, dan jawatankuasa serta lembaga, terutama sekali yang ada hubungan dengan bahasa dan kesusasteraan. Keempat, menjalankan langkah yang difikirkan patut dari semasa ke semasa, sesuai dengan cita-cita gabungan.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Sastera Februari 2012.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks