Oleh BAHA ZAIN

JANUARI 2012 menyaksikan ekonomi dunia dan politik negara berada dalam tanda tanya. Ireland, Greece, Portugal, Sepanyol dan Itali dibebani hutang, pengangguran, kemelesetan ekonomi dan boleh mufl is. Mampukah Perancis dan Jerman terus bertahan? Amerika yang dianggap kuasa dunia nombor satu itu pun sedang menderita dengan pengangguran tinggi dan pertumbuhan ekonomi yang amat rendah. Gerakan “Occupy Wall Street” menjadi protes menentang ketidakadilan ekonomi dan sosial, kerakusan, rasuah dan pengaruh puak kewangan terhadap kerajaan demokrasi.

Di Malaysia, kempen politik sudah banyak yang bermain kotor dengan tuduh-menuduh, demonstrasi, dan laporan polis (balai polis macam tempat membuang sampah sarap politik). Masyarakat yang tidak suka politik berasa renyah dan gelisah. Adakah keputusan Pilihan Raya Ke-13 akan menenteramkan keadaan?

Ada yang bertanya apa pendapat penulis? Siapa pun tidak berupaya menjawab dengan tepat, walaupun dia seorang penganalisis ekonomi atau politik. Ekonomi kita bukanlah kebal sangat, tidak sepenuhnya bebas daripada tempias kemelesetan Amerika dan Eropah.

Namun yang sedang dideritai oleh masyarakat Amerika dan zon euro boleh mengingatkan kita tentang kekuasaan Barat yang dalam keadaan sihatnya selalu sengkokol menindas Islam atau negara membangun atas nama demokrasi, hak asasi manusia dan kebebasan.

Tentang Malaysia, yang penting selepas pilihan raya kita patut memiliki kerajaan yang mempunyai visi unggul, berorientasi pada pencapaian, bersih daripada rasuah dan kronisme; dan terbentuk pula satu barisan pembangkang yang cukup kuat serta bertanggungjawab dalam Parlimen. Apabila sesebuah parti politik dipilih majoriti rakyat untuk berkuasa ia mesti meletakkan wakilnya sebagai pemimpin kerajaan; dan mereka harus sedar diri dan pandai membezakan peranan orang kerajaan daripada orang parti.

Dalam segala macam kemelut politik dan keraguan ekonomi, pada awal 2012 ini dilaksanakan gagasan “Kota Buku” yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri pada Mei 2009, sewaktu bertemu sasterawan tanah air. Hari ini sudah beroperasi sebuah syarikat bernama Perbadanan Kota Buku (PKB), di Kuala Lumpur, suatu janji budaya yang segera tertunai, dan dinantikan pula apa hasilnya.

Rencana ini dipetik daripada Dewan Sastera Februari 2012.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks