Oleh Siti Zarina Md. Israry

Hari ini jumlah penduduk Malaysia mencecah angka 28 juta orang. Daripada jumlah tersebut sebahagiannya terdiri daripada penulis, sama ada penulis dalam bidang sastera atau bukan sastera. Faktor ini diteliti secara rawak berdasarkan kewujudan banyak penerbit, sama ada pada pihak kerajaan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka dan penerbit universiti, mahupun penerbit swasta. Antara penerbit swasta yang giat menerbitkan bahan bacaan untuk rakyat Malaysia ialah Karangkraf, PTS, Utusan P&D. Kempen galakan daripada pihak kerajaan yang mahu rakyat menjadikan aktiviti membaca sebagai budaya, memberikan galakan yang memberangsangkan kepada penerbit kerajaan mahupun swasta. Rata-ratanya syarikat penerbit berminat menerbitkan buku-buku sastera.

Namun, dalam perkembangan dunia buku dan penerbitan yang memberangsangkan ini, dunia kesusasteraan tanah air juga mengalami senario yang positif. Hal ini kerana, semakin banyak penulis sastera atau kreatif yang muncul. Mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang kerjaya, atau disiplin ilmu.

Oleh yang demikian, perkara menarik untuk diperhatikan ialah soal pembabitan golongan bukan sastera dalam dunia penulisan sastera. Seterusnya soal kehadiran teks sastera yang dihasilkan oleh penulis di luar disiplin atau bidang sastera yang dari sudut pemikiran mahupun bentuk yang lebih baik daripada pengarang yang berada dalam disiplin sastera. Jika diteliti daripada kedua-dua persoalan tersebut secara prejudis, seperti wujud sempadan dalam dunia sastera. Adakah persoalan ini baik untuk dunia sastera kebangsaan yang kecil lingkungannya?

Namun, persoalan ini tidak boleh diabaikan begitu sahaja, kerana persepsi umum biasanya akan wujud apabila latar belakang dan mutu karya penulis itu disoroti, sama ada oleh khalayak pembaca mahupun pemerhati sastera. Perkara ini mungkin tidak pernah timbul dalam penulisan sastera sebelum ini, tetapi sejak kebelakangan ini perkara kecil ini menarik untuk diperkatakan apabila tersenarai beberapa nama penulis yang berlatarbelakangkan disiplin ilmu di luar lingkungan sastera. Mereka daripada disiplin ilmu perubatan, teknologi maklumat, kejuruteraan, undang-undang dan beberapa lagi disiplin ilmu yang baharu. Mereka ini telah menghasilkan sama ada puisi, cerpen mahupun novel.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Sastera September 2011. Sila dapatkan di pasaran sekarang.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks