Oleh ROSLAN JOMEL

“Sebab awal sastera ialah dongeng, begitu pula hujungnya . . .”
(Jorge Luis Borges, Parabel Cervantes dan Quixote)

“CARONANG” CERPEN BERGAYA realisme magis dan menambat perhatian buat pertama kali ketika saya cuba mengenali kepengarangan Eka Kurniawan. Disebabkan cerpen itu berbeza, saya mencari beberapa lagi cerpennya yang terkumpul dalam laman sriti.com. Saya juga baru tahu namanya setelah disebut oleh Maman S. Mahayana, dalam buku kritikan sastera bertajuk Sembilan Jawapan Sastera Indonesia. Beliau dirujuk sebagai penulis generasi baharu Indonesia yang membawa pelbagai teknik eksperimental dalam penulisan.

Beliau dilahirkan pada tahun 1975 di Tasik Malaya sebelum berhijrah dan menetap di Jakarta untuk mengembangkan kreativiti kesusasteraan bersama-sama isterinya, Ratih Kumala. Isterinya merupakan penulis muda terkenal Indonesia ketika ini. Sebelum serius menceburi bidang penulisan, beliau menyelesaikan ijazah kedoktorannya di Universiti Gadjah Mada, Yogyakarta, pada tahun 1995. Di samping menulis fiksyen, beliau menulis makalah berkaitan kesusasteraan, juga menjadi wartawan, pereka grafik dan turut melukis komik. Namun bidang penulisan fiksyen yang mengangkat namanya sehingga berjaya menerbitkan beberapa buku.

Setelah beberapa cerpen awalnya terbit dalam akhbar utama Indonesia, beliau memberanikan diri menerbitkan buku kumpulan cerpennya, bertajuk Corat-coret di Toilet pada tahun 2000. Walau bagaimanapun, buku tersebut tidak cukup meyakinkan pengkaji kesusasteraan Indonesia. Novel sulungnya, Cantik Itu Luka (versi bahasa Melayunya sudah diterbitkan untuk pasaran di Malaysia), terbit pada Disember 2002 oleh penerbit Gramedia pada tahun 2004. Novel yang ditulis dengan gaya ala Gabriel Garcia Marquez itu benar-benar mengundang perhatian peminat sastera Indonesia.

Beliau semakin produktif menerbitkan buku dan terus bereksperimen. Selepas mencipta nama melalui Cantik Itu Luka, beliau menghasilkan novela Lelaki Harimau, juga di bawah penerbitan Gramedia pada tahun 2004. Kemudian menyusul kumpulan cerpennya, Gelak Sedih, Cerita-cerita Lain dan Cinta Tak Ada Mati yang diterbitkan serentak pada tahun 2005. Manakala, buku bukan fiksyen bertajuk Pramoedya Ananta Toer dan Sastra Reaslisme Sosial pula diterbitkan pada tahun 1999. Kemudian buku tersebut diperbaharui isi kandungannya sebelum diterbitkan semula dengan kata penghantar ditulis oleh Goenawan Mohamad.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Sastera Mac 2012.

Kongsi Artikel
  • Print
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • StumbleUpon
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks