Oleh BAHA ZAIN

APABILA DIUMUMKAN lima juta ringgit sebagai dana bagi membantu penerbitan karya penulis muda, pada malam 16 Disember tahun lalu, seolah-olah membuka suatu zaman baharu mulai Januari 2012. Perdana Menteri yang mengumumkan dana bantuan itu, memberikan harapan yang sangat besar kepada bakat muda serta remaja yang selama ini berasa sukar untuk melihat tulisan mereka menjelma menjadi buku, dan kemudian sampai tangan pembaca.

Dana tersebut diserahkan kepada Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) untuk diuruskan dan ITBM akan bekerjasama dengan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) pada peringkat pemilihan dan barangkali juga penyuntingan naskhah. Hal ini adalah satu peristiwa penerbitan kreatif yang sangat penting, bukan sahaja kerana jumlah wang yang tersedia cukup besar, tetapi juga kerjasama penulisan, penyuntingan dan penerbitan antara badan korporat berkaitan kerajaan (ITBM) dengan sebuah Badan Bukan Kerajaan (PENA) yang bernafas dengan semangat dan keghairahan penulis tanah air.

Lima juta ringgit tidak boleh dikatakan dapat menerbitkan ribuan judul buku untuk memuaskan hati pelbagai jenis bakat penulis kerana barangkali paling banyak kira-kira dua ratus judul sahaja yang dapat ditampung oleh wang sebanyak itu. Walau bagaimanapun, andainya sebahagian besar karya yang terbit terjual dan dapat pula diulang cetak, keuntungan daripadanya akan dapat dijadikan modal pusingan bagi program-program penerbitan pada tahun-tahun selanjutnya. Justeru, sangatlah penting proses pemilihan manuskrip dan penyuntingan teks dilakukan dengan baik dengan mengambil kira potensi penerimaan ramai pembaca atau pasaran selain tujuan membina bakat. Tentu juga yang akhirnya sangat menentukan ialah keberkesanan promosi dan strategi jualan yang adakalanya lebih penting daripada mutu bahan itu sendiri bagi menjayakan penjualan buku.

Memang wajar sekali ITBM diamanahkan untuk mentadbirkan dana penerbitan berkenaan kerana sejak dua tiga tahun ini, ITBM sudah membuktikan kejayaannya meneroka peluang baharu dan cara baharu yang imaginatif bagi memasarkan karya sastera para pengarang kita. Selain itu, ITBM juga membayar royalti yang lebih tinggi sampai 15 peratus; dan dibayar sekali gus kepada pengarang walaupun karya belum semuanya habis terjual.

___

Rencana ini dipetik daripada Dewan Sastera Mac 2012.

Be Sociable, Share!